Sabtu, 18 Jun 2022 | 10:18pm
Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin (tengah) memenangi emas pada Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania 2022 di Pyeongtek, Korea Selatan, semalam. - Foto ihsan FB MSN.
Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin (tengah) memenangi emas pada Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania 2022 di Pyeongtek, Korea Selatan, semalam. - Foto ihsan FB MSN.

Bonnie sandaran raih emas di Sukan Komanwel 2022

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) meletak kepercayaan tinggi terhadap kemampuan jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin untuk menghasilkan kilauan pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata beliau optimis atlet itu yang muncul juara kategori 72 kilogram (kg) pada Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania 2022 di Pyeongtek, Korea Selatan semalam, mampu membutirkan pingat berkenaan sekiranya dilihat daripada prestasi semasa.

"Bonnie sudah dilantik sebagai pembawa Jalur Gemilang (di Sukan Komanwel Birmingham nanti) dan dia juga antara prospek emas. Kita harap dia menjadi salah seorang penyumbang pingat.

"Saya melihat dia seorang yang optmistik dan akan membanggakan negara dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang. Dia salah seorang harapan kita," kata Megat dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM, hari ini.

Bonnie yang juga pemenang emas di Paralimpik Tokyo 2020 berjaya meraih emas dalam kategori 72kg menerusi angkatan terbaiknya seberat 213kg pada percubaan ketiga.

Pada percubaan pertama, atlet berusia 22 tahun dari Sarawak itu melakukan angkata 203kg, diikuti 209kg pada percubaan kedua dalam kejohanan berkenaan yang juga antara kelayakan ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Atlet dari China, Hu Peng melakukan angkatan 200kg untuk meraih perak manakala Bekzod Jamilov dari Uzbekistan mengangkat 180kg bagi meraih gangsa.

Mengulas lanjut mengenai penyertaan di Sukan Komanwel Birmingham 2022, Megat berkata, pihaknya sudah mempunyai kira-kira sembilan senarai nama awal atlet untuk menyertai kontinjen yang bakal bertanding dalam empat jenis sukan.

"Disebabkan temasya ini adalah kolektif bersama MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan mereka akan mengetuainya, maka sasaran itu adalah lebih sesuai diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan sendiri," katanya.

Berita Harian X