Sabtu, 18 Jun 2022 | 6:13pm
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman (tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tahunan MPM di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman (tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tahunan MPM di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Mungkin letak sasaran sederhana ke Sukan Para ASEAN

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara ke Sukan Para ASEAN 2022 di Solo, Indonesia mungkin hanya meletakkan sasaran yang sederhana memandangkan belum menerima gambaran sebenar mengenai situasi di sana.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya mendengar beberapa perkara yang menjadi kebimbangan buat kontinjen, namun percaya majlis paralimpik negara berkenaan mampu menyelesaikannya sebelum temasya bermula.

"Kita akan ke sana dan menghantar kontinjen tetapi sehingga sekarang, kita belum tahu di mana hotel dan sebagainya. Buku teknikal sudah diedarkan tetapi saya fikir biarlah Majlis Paralimpik Indonesia melakukannya.

"Kita mungkin berlepas pada 25 Julai ini. Apa yang kita dengar, venue sukan renang sudah bertukar ke Semarang. Dari Solo ke Semarang dalam 1 jam 30 minit. Itu antara perkara yang kita sentiasa dapatkan maklumat dari sana," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Megat berkata, kontinjen kali ini berkemungkinan dibarisi seramai 75 atlet yang bakal menyertai 14 jenis sukan dan senarai muktamad penyertaan atlet hanya akan diputuskan pada 23 Jun ini.

"Secara dasarnya, kita bersama MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan). Kita tak mahu sertai tetapi kita tetap akan pergi juga sebagai pendedahan kerana banyak kejohanan (sebelum ini) dibatalkan.

"Kita mungkin menghantar atlet muda. Jadi sasaran itu sederhana saja tetapi disebabkan nak ketengahkan atlet dan kita mempunyai bakat, jadi kita tetap hantar kontinjen," katanya.

Sukan Para ASEAN Solo 2022 dijadual berlangsung daripada 30 Julai hingga 6 Ogos ini.

Berita Harian X