Selasa, 17 Mei 2022 | 10:38pm

Kuartet renang negara kejutkan Singapura

HANOI: Kuartet renang negara melakar kejutan apabila menewaskan Singapura dan memecahkan rekod kebangsaan untuk merangkul pingat perak pada Sukan SEA Hanoi, hari ini.

Welson Sim, Lim Yin Chuen, Arvin Shaun Singh dan Khiew Hoe Yean menamatkan acara 4x200 meter gaya bebas berganti-ganti lelaki di tempat kedua dengan rekod kebangsaan baharu, tujuh minit dan 19.750 saat (s).

Rekod kebangsaan sebelum ini adalah 7:26.74s yang dicatat oleh Welson, Lim Ching Hwang, Kevin Yeap dan Vernon Lee pada temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow.

Kompilasi aksi perenang negara ketika beraksi dalam acara 4x200m gaya bebas lelaki sempena temasya Sukan Sea 2021 di My Dinh Water Sports Stadium hari ini. -fotoBERNAMA
Kompilasi aksi perenang negara ketika beraksi dalam acara 4x200m gaya bebas lelaki sempena temasya Sukan Sea 2021 di My Dinh Water Sports Stadium hari ini. -fotoBERNAMA

Emas menjadi milik kuartet perenang tuan rumah - Nguyen Huu Kim Son, Nguyen Huy Hoang, Hoang Quy Phuoc dan Tran Hung Nguyen yang melakukan rekod baharu dengan catatan 7:16.31s untuk memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang Singapura (7:17.88s)

Penyandang emas dari Singapura, Jonathan Tan, Glen Lim, Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi catatan 7:21.49s.

Welson yang ceria ketika ditemui mengakui tiada jangkaan tinggi yang diletakkan apatah lagi berdepan dengan pasukan lawan yang jelas menjadi pilihan.

"Ini (Sukan SEA Hanoi) adalah kali pertama kami membentuk pasukan dan saya rasa kami ada keserasian yang baik," kata Welson.

"Kami tahu kami berpeluang memecahkan rekod kebangsaan jika semuanya berjalan lancar dan saya rasa kami sudah melakukan yang terbaik.

"Semuanya bergantung kepada kekuatan mental. Apa sahaja boleh berlaku dalam pertandingan di tahap tertinggi seperti ini dan mungkin anda bergelut pada pertengahan perlumbaan (kerana tekanan).

"Satu perasaan yang bagus apabila menewaskan seteru anda dalam renang. Kami tidak dapat memberi saingan kepada Singapura dalam beberapa edisi sebelum ini tetapi kali ini, kami setara dengan mereka dan juga Vietnam.

"Kami tidak rugi apa-apa. Tekanan lebih dirasai oleh mereka (pencabar lain)," tambahnya.

Dalam satu lagi acara yang berlangsung, Job Tan mencipta kejutan apabila meraih pingat gangsa dalam acara 200m kuak dada lelaki menerusi catatan 2:17.68s.

Atlet dari Singapura, Maximillian Ang merangkul emas dengan catatan 2:11.93s manakala perak menjadi milik perenang dari Vietnam, Bao Pham Thanh.

Welson dan Hoe Yean akan berentap dalam acara 200m gaya bebas lelaki esok.

Berita Harian X