HANOI: Kem terjun negara terus menjadi kuasa besar Sukan SEA apabila muncul juara keseluruhan edisi ke-31 temasya dwi tahunan itu di sini, dengan kutipan lapan pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.
Kejayaan itu secara tidak langsung membenarkan Malaysia memegang status berkenaan buat kali kesembilan berturut-turut sejak tahun 2005.
Pengurus pasukan, Datuk Leong Mun Yee nyata gembira dengan prestasi dipamerkan penerjun negara yang dibarisi gabungan atlet muda dan berpengalaman.
"Kami menyasarkan lapan emas dan empat gangsa tetapi kami berjaya melepasi sasaran dengan lapan emas, tiga perak dan satu gangsa. Jadi saya berpuashati dengan prestasi keseluruhan," kata Mun Yee.
"Kami membariskan seorang penerjun senior dan satu penerjun muda (dalam setiap acara). Ini adalah langkah pertama untuk memberikan penerjun muda kita menerima pengalaman di peringkat Sukan SEA.
"Ia adalah Sukan SEA pertama buat penerjun seperti Ong Ker Ying dan Bertrand Rhodict Lises namun masih ada ruang penambahbaikan buat mereka, saya fikir mereka berjaya mengawal pertandingan dengan baik.
"Bagi Ker Ying, saya percaya dia masih boleh meningkat daripada sudut terjunan individu manakala Rhodict, dia adalah penerjun platform tetapi masih boleh memenangi gangsa walaupun mempunyai kekangan daripada segi persiapan."
Rhodict menamatkan saingan di tempat ketiga dalam acara 1 meter (m) papan anjal individu yang dimenangi atlet senior, Ooi Tze Liang. Ker Ying yang bergandingan bersama atlet senior, Wendy Ng pula memenangi acara 3m papan anjal seirama wanita.
Mun Yee dalam pada itu percaya gandingan Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10m platform seirama wanita mampu dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.
Gandingan itu kembali bersama tahun ini selepas Mun Yee dan Cheong Jun Hoong mengumumkan persaraan.
"Pandelela dan Nur Dhabitah pernah digandingkan di Sukan Komanwel sebelum ini. Mereka bagaimanapun, mempunyai kekangan masa untuk mempersiapkan diri bersama bagi Sukan SEA," katanya.
"Saya fikir, mereka mampu menjadi lebih baik daripada sudut terjunan individu dan keserentakan. Saya jangka mereka dapat lebih meningkat sebelum Sukan Asia dan Komanwel yang terdekat ini kerana mereka mempunyai masa untuk mempersiapkan diri."
Nur Dhabitah juga memenangi acara 1m papan anjal individu di Hanoi manakala Muhammad Syafiq Puteh dan Wendy masing-masing memenangi acara 3m papan anjal.
Ini adalah pengalaman pertama Mun Yee sebagai pengurus pasukan dan dia tidak menolak kemungkinan untuk terus menggalas tanggungjawab berkenaan pada masa akan datang.
"Ia berbeza daripada menjadi atlet. Ia agak memenatkan tetapi mempunyai banyak kepuasan terutama ketika semuanya berlangsung dengan lancar," kata Mun Yee. "Saya juga seorang jurulatih bersama pasukan kebangsaan tetapi tidak kisah untuk menggalas tugas selaku pengurus pasukan semula sekiranya ditawarkan di masa depan."
Mun Yee mempunyai koleksi 17 emas di Sukan SEA dari tahun 2001 hingga 2017.