X
Isnin, 18 April 2022 | 7:05pm
Jurulatih, Datuk Ng Joo Ngan (tengah) bersama pengurus pasukan, Firdaus Arshad dan pelumba, Nur Aisyah Mohd Zubir ketika sidang media pasukan basikal lebuh raya sempena Sukan SEA 2021 Vietnam di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - FOTO NSTP/AIZUDDIN SAADS
Jurulatih, Datuk Ng Joo Ngan (tengah) bersama pengurus pasukan, Firdaus Arshad dan pelumba, Nur Aisyah Mohd Zubir ketika sidang media pasukan basikal lebuh raya sempena Sukan SEA 2021 Vietnam di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - FOTO NSTP/AIZUDDIN SAADS

Kombinasi TSG, TSC mampu raih emas

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan, Datuk Ng Joo Ngan optimis kombinasi pelumba daripada dua pasukan profesional terkemuka negara - Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Sapura Cycling Team (TSC) mampu merealisasikan sasaran memenangi satu pingat emas pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan depan.

Joo Ngan, berkata berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan pelumba termasuklah ketika perlumbaan Jelajah Thailand baru-baru ini, dia percaya pelumba negara berpotensi untuk melakar kejutan sekali gus menghasilkan kejayaan buat Malaysia.

"Sudah lama saya tidak bersama dengan pasukan kebangsaan. Saya perlu berhati-hati untuk mengatur strategi yang berkesan buat skuad negara pada Sukan SEA nanti.

"Secara peribadi, kami mempunyai pasukan yang kuat dengan kombinasi pasukan profesional Sapura dan TSG. Kali ini juga tidak akan berlaku lagi masalah seperti yang terjadi pada Sukan SEA 2019.

"Kami perlu membawa pulang semula pingat emas kepada Malaysia pada Sukan Sea kali ini," katanya ketika sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebelum ini meletakkan sasaran satu emas untuk acara kriterium lelaki dan dua podium bagi kategori ujian masa lelaki dan berpasukan wanita.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas berbasikal lebuh raya Sukan SEA adalah menerusi kejayaan Mohd Hariff Saleh dalam acara kriterium dan ujian masa berpasukan lelaki sewaktu edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Berita Harian X