Jumaat, 1 April 2022 | 12:55pm
Khairul Naim jadi sandaran MASCA raih pingat di Sukan SEA Hanoi bulan depan.
Khairul Naim jadi sandaran MASCA raih pingat di Sukan SEA Hanoi bulan depan.

Khairul Naim pertaruhan MASCA

KUALA LUMPUR: Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) meletakkan sandaran kepada Khairul Naim Zainal bagi menamatkan kemarau pingat dalam sukan itu pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan depan.

Presiden MASCA, Datuk Michael Wong Meng San, berkata berdasarkan catatan masa peribadi terbaik dimiliki atlet berusia 22 tahun itu dalam acara K1 1000 meter (m), Khairul Naim sekurang-kurangnya mampu untuk meraih perak di Hanoi.

Khairul Naim ketika ini berada pada tahap prestasi terbaiknya selepas memecahkan rekod kebangsaan miliknya ketika beraksi di Kejohanan Dunia Remaja Kanu Sprint di Portugal pada Julai tahun lalu dengan catatan 4 minit 02.596 saat (s).

Rekod kebangsaan miliknya sebelum itu dilakukan ketika menyertai Kejohanan Dunia Kanu Sprint di Hungary pada 2019 dengan catatan 4 minit 4.509s.

"Kalau mengikut kriteria podium adalah pingat gangsa tetapi dia dua kali sudah mengatasi catatan masa atlet yang memenangi gangsa di Sukan SEA Manila (2019).

"Dengan catatan masa peribadi terbaik yang dimilikinya ketika ini, dia menyamai masa yang direkodkan pemenang perak di Manila dan hanya ketinggalan satu saat di belakang pemenang emas.

"Jadi, sebenarnya untuk memenangi emas juga bukanlah sesuatu yang mustahil untuk Khairul Naim kerana semua negara juga berdepan dengan masalah yang serius (pandemik COVID-19)," kata Micheal Wong.

Pada dua edisi terakhir Sukan SEA iaitu 2017 dan 2019, skuad kanu pulang dengan tangan kosong apabila gagal memenangi sebarang pingat.

Di Hanoi, Khairul Naim juga akan beraksi dalam acara K2 1000m bergandingan bersama Nik Afiq Nik Mazli.

MASCA turut menyenaraikan Aimi Ayuni Azwan dan Aisyah Harhanah Azwan bagi acara K2 500m dan 1000m.

Bagi mempersiapkan barisan atlet menghadapi temasya di Hanoi, MASCA melantik jurulatih dari Hungary, Laszlo Toth bagi membimbing pasukan negara.

Kredibiliti Laszlo sememangnya sudah terbukti apabila dia berjaya membantu pasukan Hungary meraih tiga pingat emas di Sukan Olimpik Rio 2016 dan tiga pingat emas untuk pasukan China pada Olimpik Athens 2004.

Dia turut mempunyai rekod cemerlang membantu negara berkenaan merangkul tujuh pingat emas di Kejohanan Kanu Asia 2011.

Berita Harian X