Khamis, 24 March 2022 | 3:11pm
Gambar fail - Aksi pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang (tengah) pada saingan suku akhir acara keirin temasya Sukan Olimpik Tokyo di Izu Velodrome, Shizuoka, Jepun pada 8 Ogos lalu. - Foto BERNAMA.
Gambar fail - Aksi pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang (tengah) pada saingan suku akhir acara keirin temasya Sukan Olimpik Tokyo di Izu Velodrome, Shizuoka, Jepun pada 8 Ogos lalu. - Foto BERNAMA.

Ahmad Faizal optimis Azizulhasni cemerlang di Sukan Komanwel, Asia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin dengan kemampuan jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk menghadiahkan kejayaan apabila membawa cabaran Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou, tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata kesungguhan dan kebolehan yang ditunjukkan pelumba berusia 34 tahun berkenaan selama ini cukup untuk membuktikan dia mampu sekali lagi menjadi sandaran kontinjen negara.

"Saya yakin dengan kemampuan Azizulhasni dan atlet lain yang sedang buat persiapan bagi menghadapi tiga temasya besar (Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia) tahun ini.

"Apa yang paling penting adalah usaha dan kegigihan. Ini kerana daripada usaha dan kegigihan itu yang dapat memberi mesej kepada peminat sukan tentang sukan bukan hanya mengenai kemenangan tetapi ia mengenai bagaimana kita mampu atau tidak menaikkan kebolehan diri sendiri ke tahap paling maksimum.

"Apa juga keputusan yang mereka peroleh tentunya akan menyemarakkan semangat kita sebagai rakyat Malaysia dan berbangga dengan semua atlet kita," katanya selepas menyaksikan Azizulhasni dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2019/2020, kelmarin.

Aksi di Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou akan menjadi penampilan terakhir buat Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman selepas dia merancang untuk bersara sebaik tamat Sukan Olimpik Paris 2024.

Penampilan di Birmingham juga menjadi peluang terakhir buat pelumba itu untuk meraih pingat emas pertamanya di temasya berkenaan selepas sebelum ini terpaksa berpuas hati dengan gangsa bagi acara pecut berpasukan dan keirin masing-masing pada edisi 2010 di New Delhi dan 2014 di Glasgow.

Azizulhasni bagaimanapun berjaya meraih emas di Sukan Asia Guangzhou 2010 dalam acara keirin sebelum turut melakar pencapaian sama bagi acara pecut pada edisi 2018 di Jakarta.

Bagi Sukan Olimpik Paris, ia bakal menyaksikan pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu membuat penampilan kelima di temasya berprestij berkenaan dengan pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah memenangi pingat gangsa dan perak dalam acara keirin masing-masing pada Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Sukan Komanwel Birmingham 2022 akan berlangsung bermula 28 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Asia Hangzhou 2022 akan membuka tirai saingannya pada 10 hingga 25 September depan.

Sebelum itu, kontinjen negara akan turut menyertai Sukan SEA Hanoi yang berlangsung bermula 12 hingga 23 Mei ini tetapi tidak disertai oleh Azizulhasni.

Berita Harian X