Jumaat, 11 March 2022 | 11:04am
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad.
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad.

Ahli gabungan PSM dinasihat masuk MSC

KUALA LUMPUR: Semua ahli gabungan yang berada di bawah Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) disaran menyertai Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) memandangkan badan induk yang baharu ditubuhkan itu sudah diterima sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad berkata, adalah penting buat mana-mana persatuan sukan kebangsaan mendapat pengiktirafan daripada badan antarabangsa demi pembangunan sukan itu sendiri.

"Pada pandangan saya, PSM perlu bertolak ansur memandangkan mereka sudah tidak lagi diiktiraf oleh ASTAF. Jadi, saya fikir ahli gabungan yang ada dalam PSM perlu sertai MSC kerana mereka adalah ahli gabungan ASTAF yang sah.

"Sukar untuk mana-mana persatuan sukan kebangsaan yang tidak diiktiraf badan antarabangsa untuk melaksanakan program mereka kerana ia terhad dalam negara saja. Jadi, jika semua memikirkan mengenai kepentingan sepak takraw, eloklah ahli gabungan yang ada dalam PSM menyertai MSC.

"Saya berpandangan tiada gunanya kita mahu heret masalah ini sehingga ke mahkamah kerana ia hanya membuang masa dan ia akan menjejaskan pembangunan sepak takraw nanti.

"Kalau mahukan jawatan, apabila tiba masanya untuk pemilihan kepimpinan, masuklah bertanding. Bersainglah dengan sihat dan selepas itu kalau mahu tukar nama ke apa bolehlah buat pindaan yang sepatutnya.

"Bagi saya, tidak perlu kita terlalu sentimental dalam hal ini kerana banyak perkara berubah mengikut peredaran masa. Sejarah tetap sejarah namun kepentingan sukan itu tetap perlu diutamakan," kata Mazlan ketika dihubungi BH Sukan.

Ketika ini, PSM masih mempunyai 10 ahli gabungan terdiri daripada persatuan negeri dan empat ahli bersekutu manakala MSC memiliki enam anggota yang menjadi tonggak penubuhannya dan diluluskan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), bulan lalu.

Penubuhan MSC turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menjadi faktor utama ASTAF menerima badan induk itu menjadi ahli gabungan mereka berkuat kuasa Sabtu lalu.

Susulan keputusan itu, ASTAF menolak permohonan PSM untuk kembali menjadi ahli gabungan badan induk berkenaan selepas disingkirkan pada 20 Mei tahun lalu.

Jawatankuasa Disiplin ASTAF menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasiti Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Februari.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai 14 Mac 2008.

Berita Harian X