Selasa, 8 March 2022 | 6:25pm
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (kanan) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif untuk penggal 2021-2025 di Wisma OCM hari ini.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (kanan) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif untuk penggal 2021-2025 di Wisma OCM hari ini.

MOM masih bincang permohonan MSC

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah mendapat pengiktirafan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), permohonan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) untuk menjadi ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih belum diluluskan.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mengesahkan perkara itu menegaskan pihaknya mempunyai kriteria serta prosedur kemasukan yang ketat sebelum boleh menerima mana-mana persatuan sukan menjadi ahli gabungan.

"Kriteria itu agak ketat dan proses berkenaan mengambil masa kerana terpaksa dibawa kepada Majlis untuk kelulusan.

"Buat masa ini, permohonan MSC itu masih dalam peringkat perbincangan dan kita akan melihat semua perkara daripada sudut perundangan, (pembangunan) peringkat akar umbi," kata Norza selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM kali keempat, hari ini.

Sebelum ini, MSC menerima pengiktirafan daripada PPS dan ASTAF dengan enam ahli gabungan menjadi tonggak penubuhannya iaitu Persatuan Sepak Takraw Selangor; Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya; Persatuan Sepak Takraw Sarawak; Persatuan Sepak Takraw Perlis; Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah; dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.

Namun, MSC yang ditubuhkan sebagai alternatif kepada jalan penyelesaian kemelut Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan ASTAF, dilihat masih belum dapat memenuhi kriteria termasuk daripada sudut jumlah ahli naungan untuk menjadi ahli gabungan MOM buat masa ini.

"Saya fikir, minimum tujuh (ahli gabungan dalam mana-mana persatuan). Kita juga melihat dari segi audit akaun, perkembangan urus selia dan kejohanan dianjurkan. Kita lebih komprehensif dan ini sudah terbukti dilaksanakan sejak dulu lagi.

"Kalau tidak, macam-macam persatuan boleh jadi ahli gabungan kerana ada separuhnya tak memenuhi kriteria akan disenaraikan sebagai bersekutu. Jadi, kita perlu melihat perkara ini dan disebabkan itu, saya meminta Pesuruhjaya Sukan (PJS), tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa," kata Norza.

Mengulas mengenai status PSM, Norza berkata, badan itu masih ahli gabungan MOM.

"Perkara ini dibincangkan begitu hangat dalam mesyuarat dengan kehadiran PJS, Ibrahim Mohd Yusof.

"Kita beranggapan, apa saja keputusan dibuat PJS harus tidak tergesa-gesa kerana di pihak MOM, kita melihat kepentingan sukan berkenaan terutama membabitkan program di akar umbi," katanya.

Berita Harian X