Ahad, 6 March 2022 | 9:52pm
Datuk Suhaili tegaskan penubuhan MSC sebagai usaha jernihkan hubungkan dengan ASTAF.
Datuk Suhaili tegaskan penubuhan MSC sebagai usaha jernihkan hubungkan dengan ASTAF.

'Bukan rampas kuasa PSM'

KUALA LUMPUR: Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) menegaskan penubuhan badan induk itu bukanlah satu bentuk rampasan kuasa daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terutama selepas diterima sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), semalam.

Presidennya, Datuk Suhaili Abdul Rahman, berkata MSC ditubuhkan sebagai usaha bagi menjernihkan hubungan antara badan sukan sepak takraw kebangsaan dengan antarabangsa.

Katanya, permohonan MSC untuk menjadi ahli gabungan ASTAF dilakukan mengikut saluran yang ditetapkan oleh badan induk Asia berkenaan.

"Mungkin sesetengah pihak mereka beranggapan MSC mahu mengambil alih apa yang mereka (PSM) lakukan sejak sekian lama.

"Kalau kami tidak wujud apa jadi dengan sepak takraw negara? Kalau ASTAF masih berdegil tidak mahu terima PSM, apa akan jadi? Kita tidak boleh buntu dalam mencari penyelesaian dan disebabkan itu kita menubuhkan MSC sebagai salah satu jalan penyelesaiannya.

"Dan ini terbukti apabila ASTAF menerima MSC sebagai ahli gabungan. Ini adalah pendekatan yang betul dan sekarang semua badan sepak takraw ada tempat untuk bernaung selepas PSM tidak diiktiraf ASTAF sebelum ini," katanya ketika ditemui BH Sukan di sini, hari ini.

BH Sukan melaporkan ASTAF menerima permohonan MSC menjadi ahli gabungan badan induk itu berkuat kuasa, semalam.

Pengiktirafan itu diberikan menerusi satu sijil yang ditandatangani oleh Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader dari Singapura dan Setiausaha Agung, Boonchai Lorhpipat dari Thailand.

Dengan pengiktirafan daripada ASTAF, Suhaili mengalu-alukan semua persatuan negeri untuk menjadi sebahagian daripada 'keluarga' MSC.

"Pintu sentiasa terbuka untuk semua persatuan negeri untuk bersama dengan MSC. Syarat utama yang diletakkan PJS (Pesuruhjaya Sukan) bagi meluluskan permohonan penubuhan MSC adalah kami tidak boleh menghalang atau menyekat kemasukan ahli gabungan yang berada dalam PSM.

"Jadi, kami memang mengalu-alukan kehadiran mereka. Marilah bersama kami demi kemajuan sukan sepak takraw negara," katanya.

Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin ASTAF menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasiti Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Februari.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai 14 Mac 2008.

Susulan kemelut yang melanda PSM, enam bekas ahli gabungan badan induk itu memutuskan untuk menubuhkan entiti baharu dikenali sebagai MSC dan mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), bulan lalu.

Enam ahli gabungan yang menjadi tonggak penubuhannya MSC iaitu Persatuan Sepak Takraw Selangor; Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya; Persatuan Sepak Takraw Sarawak; Persatuan Sepak Takraw Perlis; Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah; dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.

Berita Harian X