Khamis, 3 March 2022 | 8:45pm
Gambar fail - Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak (tengah) pada satu sidang media sebelum ini. - Foto BERNAMA
Gambar fail - Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak (tengah) pada satu sidang media sebelum ini. - Foto BERNAMA

KHM tak hantar skuad ke Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Peminat sukan tanah air tidak berpeluang menyaksikan kelibat pasukan hoki lelaki kebangsaan pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, United Kingdom selepas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memutuskan tidak mengambil bahagian pada temasya itu.

KHM membuat keputusan untuk tidak menghantar skuad kendalian A Arul Selvaraj ke temasya itu kerana misi lebih besar menanti skuad "Speedy Tigers" pada Sukan Asia di Hangzhou, China pada September yang menawarkan slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Lembaga Eksekutif badan induk itu minggu lepas dengan mengambil kira pandangan Ketua Jurulatih dan Pengarah Teknikal (Pembangunan), KHM Paul Revington.

"Ketua Jurulatih berpendapat bahawa pasukan kita harus fokus kepada Sukan Asia di China, kerana jurang (masa) antara Sukan Komanwel dan Sukan Asia tak berapa panjang, selain faktor proses kuarantin yang terpaksa ditempuh.

"Untuk mengelakkan persiapan yang tidak bagus untuk Sukan Asia, jadi Ketua Jurulatih memberi pandangan supaya kita hanya memfokuskan kepada temasya itu. Fokus kita adalah untuk layak ke Olimpik jadi sebab itu kena fokus kepada Sukan Asia," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Najmi menafikan keputusan untuk tidak menghantar pasukan negara ke Birmingham adalah disebabkan kekangan kewangan.

Sukan Komanwel dijadual bermula 28 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Asia berlangsung dari 10 hingga 25 September.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai pandangan dilontarkan untuk memastikan pasukan negara tetap mengambil bahagian pada Sukan Komanwel termasuk cadangan menghantar skuad remaja.

Namun, katanya langkah itu dilihat mempunyai risiko yang akan mampu menjejaskan kedudukan ranking pasukan negara.

"Pada pendapat kita kalau kita hantar pasukan remaja kita tidak boleh bersaing dengan baik dan mungkin mengakibatkan kita kalah dengan pasukan Pakistan sebagai contoh. Pakistan pasukan yang jauh di belakang kita dan bila mereka menang, mereka akan dapat banyak mata ranking.

"Tahap Sukan Komanwel adalah sangat berbeza untuk kita menghantar pasukan simpanan atau pun skuad remaja. India, Pakistan, England, Australia, semua antara pasukan yang kuat," katanya.

Berdasarkan ranking semasa Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia berada di kedudukan ke-11 dunia sementara Pakistan kini berada di tangga ke-18.

Sebagai rekod, pasukan hoki lelaki kebangsaan terlepas peluang keemasan untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu, selepas kecundang di tangan skuad muda Jepun di pentas final acara hoki Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Pemenang pingat emas Sukan Asia akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara hoki di Sukan Komanwel adalah meraih pingat perak pada edisi 1998 di Kuala Lumpur sebelum kali terakhir memenangi pingat pada edisi 2006 di Melbourne, Australia dengan meraih gangsa.

- BERNAMA

Berita Harian X