Ahad, 27 Februari 2022 | 7:05pm
Gambar fail - Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof.
Gambar fail - Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof.

Kepimpinan POS dakwa tak terima surat jemputan PJS

KUALA LUMPUR: Persatuan Olahraga Selangor (POS) mendakwa barisan kepimpinan badan induk berkenaan tidak menerima surat panggilan daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof untuk menghadiri mesyuarat bersama beliau esok.

Presidennya, Nurhayati Karim berkata surat panggilan itu hanya diterima oleh ahli gabungan POS iaitu daripada kalangan presiden kelab dan persatuan olahraga daerah Selangor dengan surat itu juga tidak menyatakan sebarang agenda atau tujuan mesyuarat diadakan.

"Kami ingin menjelaskan untuk pengetahuan umum bahawa bukan semua barisan kepimpinan POS adalah presiden kepada kelab atau persatuan olahraga daerah di Selangor," kata Nurhayati dalam satu kenyataan.

"Ada di kalangan mereka yang hanya memegang jawatan dalam barisan kepimpinan POS tetapi bukan presiden di sebarang kelab atau persatuan olahraga daerah di Selangor. Oleh itu, adalah amat tidak adil terhadap mereka kerana hak mereka dinafikan oleh PJS untuk menghadiri mesyuarat PJS pada Isnin ini (esok).

"Maka, kami menyeru PJS supaya mengendalikan isu POS dalam linkungan bidang kuasa mereka secara adil dan saksama serta suci hati seperti termaktub dalam Akta Pembangunan Sukan 1997. Kami sangat berharap agar PJS tidak menghalang pembangunan sukan olahraga di Selangor yang menjadi matlamat perjuangan POS.

"Memandangkan semua barisan kepimpinan POS tidak terima surat panggilan mesyuarat yang bertarikh 18 Februari 2022 dan perkara ini sudah dibawa ke mahkamah untuk keputusan, kami berpendapat mesyuarat pada 28 Februari 2022 itu harus ditangguhkan sehingga kes berkenaan diputuskan oleh mahkamah."

Nurhayati turut memaklumkan yang peguam kepada ahli gabungan POS juga sudah mengemukakan surat balas pada Jumaat lalu untuk memohon mesyuarat yang dijadual berlangsung esok ditangguhkan.

Sebelum ini, POS memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan kesahihan mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu yang diadakan pada 12 Disember lalu.

Peguam mewakili POS, Bernard Francis daripada Bernard Francis & Associates, berkata mahkamah menetapkan 7 Mac ini sebagai tarikh bagi sesi pendengaran kes berkenaan.

Katanya, tindakan itu diambil selepas Ibrahim didakwa mencetuskan kekeliruan apabila mengeluarkan dua surat yang tidak menyatakan dengan jelas mengapa AGM itu tidak mengikut peraturan.

Berita Harian X