Khamis, 24 Februari 2022 | 8:27pm
Peguam mewakili POS, Bernard Francis (kanan) dan Norhayati Karim selepas sidang media di ibu negara hari ini.
Peguam mewakili POS, Bernard Francis (kanan) dan Norhayati Karim selepas sidang media di ibu negara hari ini.

POS mohon semakan kehakiman AGM 12 Disember lalu

KUALA LUMPUR: Persatuan Olahraga Selangor (POS) memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, bagi menentukan kesahihan mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu yang diadakan pada 12 Disember lalu.

Peguam mewakili POS, Bernard Francis daripada Bernard Francis & Associates, berkata mahkamah menetapkan 7 Mac ini sebagai tarikh bagi sesi pendengaran kes berkenaan.

Katanya, tindakan itu diambil selepas Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof didakwa mencetuskan kekeliruan apabila mengeluarkan dua surat yang tidak menyatakan dengan jelas mengapa AGM itu tidak mengikut peraturan.

"Kami sudah failkan permohonan semakan kehakiman dan di dalam surat 21 Januari 2022, PJS hanya menyatakan pendapat mereka bahawa AGM dilangsungkan tidak teratur dan hanya menyatakannya secara umum.

"Surat bertakih 19 Januari 2022 pula menyatakan POS isi borang itu tidak lengkap. Jadi kami menjadi tidak pasti. Kami berpendapat bahawa sama ada AGM itu sah atau tidak bukan bidang kuasa PJS.

"Sebab itu sekarang ini kita kemukakan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada ia adalah sah atau tidak," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Pada 9 Februari lalu, Ibrahim menerusi laporan media, berkata selepas pihaknya melakukan semakan terhadap laporan dan dokumen berkaitan AGM yang diadakan pada 12 Disember lalu mendapati proses pelaksanaan dan perjalanan mesyuarat berkenaan adalah bercanggah atau tidak mematuhi perlembagaan persatuan berkenaan.

Sementara itu, Norhayati Karim yang dilantik bagi menerajui kepimpinan baharu POS, berkata disebabkan AGM yang berlangsung pada 12 Disember lalu tidak diakui oleh PJS, badan induk itu berdepan kekangan bagi meneruskan aktiviti-aktiviti dalam persatuan .

"Ini termasuklah akaun bank tidak dapat digunakan tanpa bukti penerimaan AGM oleh PJS.

"Semua aktiviti POS terhalang dan tergendala seperti pembayaran insentif yang terhutang sejak empat tahun lalu kepada pemenang pingat SUKMA 2018 disebabkan oleh masalah penyelewengan dana yang berlaku sebelum ini.

"POS juga tidak dapat menghulurkan bantuan kewangan kepada atlit, pegawai dan jurulatih yang menjadi mangsa dalam kejadian banjir baru-baru ini selain POS tidak dapat menyempurnakan suatu perjanjian usahasama yang dipersetujui oleh POS dan sebuah institusi pengajian di Selangor untuk kursus kepegawaian diserap dalam takwim akademik institusi berkenaan," katanya.

Berita Harian X