Khamis, 17 Februari 2022 | 7:26pm
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker (empat, kanan) bergambar bersama pendaki gunung Everest 1997 pada majlis sambutan ulangtahun ke-25 Ekspedisi Gunung Everest 1997 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) hari ini. Turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Zakaria Abdul Hamid. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker (empat, kanan) bergambar bersama pendaki gunung Everest 1997 pada majlis sambutan ulangtahun ke-25 Ekspedisi Gunung Everest 1997 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) hari ini. Turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Zakaria Abdul Hamid. - Foto BERNAMA

Kisah 10 pendaki negara ke puncak Gunung Everest diterbitkan

KUALA LUMPUR: Selepas 25 tahun, kisah pendakian 10 pendaki negara ke puncak Gunung Everest akan diterbitkan dalam pelbagai medium media dengan keseluruhan kos keseluruhan sebanyak RM150 juta.

Ini termasuk menerbitkannya dalam bentuk filem, buku, dokumentari, aplikasi permainan, muzik latar asli, rakaman belakang tabir dan animasi.

Syarikat penerbitan filem tempatan, Fullmoon Pictures (M) Sdn Bhd mencetuskan idea ini dengan hasrat utama memaparkan kisah perjalanan pendaki ke puncak Gunung Everest yang penuh cabaran berliku demi mengharumkan nama negara di persana dunia pada 1997.

"Ekspedisi Gunung Everest pada 1997, amat merbahaya dan mencabar. Kami hanya memahami pahit getir mereka semasa kami mengkaji mengenai kisah berkenaan, termasuk temubual, artikel dan dokumentari.

"Ia benar-benar membuka mata kami. Konsep mendaki gunung tertinggi dunia sambil mengharungi iklim mencabar hanyalah sekilas daripada peristiwa ini.

"Tidak ramai yang mengetahui keseluruhan proses latihan, kos di sebaliknya, persediaan mental dan tahap usahasama yang terbabit dalam keseluruhan perjalanan," kata Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Fullmoon Pictures, Izzat Hazim.

Bersempena sambutan ulang tahun ke-25 kejayaan Malaysia menawan puncak Gunung Everest, Fullmoon Pictures melancarkan francais media yang dikenali sebagai 'The Summit-97' itu.

Daripada kempen francais itu, RM100 juta diperuntukkan untuk menghasilkan filem berjudul 'Peak of Heaven' yang turut membabitkan selebriti antarabangsa seperti A R Rahman, Guy Sebastian, Henry Golding dan Phedon Papamichael.

Turut hadir menyaksikan majlis pelancaran adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker serta enam pendaki negara ketika itu, Datuk M Magendran; Datuk N Mohanadas; Aimi Zairin Mohamed; Gary Chong; Borhan Ibrahim dan Zahidi Paiman.

Sementara itu, Lian Ker menyifatkan The Summit-97 ini sebagai satu kempen yang begitu bernilai bukan saja buat atlet tetapi juga kepada rakyat.

"Ia satu kisah yang bernilai bukan kepada atlet tetapi juga kepada setiap individu dalam kehidupan seharian mereka. Ia menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Saya percaya, ramai rakyat Malaysia mempunyai kebolehan kesukanan yang belum dipersembahkan ke peringkat dunia," kata Lian Ker.

Berita Harian X