Selasa, 18 Januari 2022 | 6:20pm
Bekas atlet para kebangsaan, Koh Lee Peng kini menyara hidup dengan menjual tisu di kaki lima berhampiran pusat beli-belah Pavilion di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.
Bekas atlet para kebangsaan, Koh Lee Peng kini menyara hidup dengan menjual tisu di kaki lima berhampiran pusat beli-belah Pavilion di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.

'Sokong dan beri semangat kepada Koh Lee Peng'

KUALA LUMPUR: Sokong dan beri semangat kepada Koh Lee Peng.

Itu kata Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin ketika diminta mengulas mengenai kisah tular bekas atlet renang para negara, Koh Lee Peng menjaja barangan secara kecil-kecilan di Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini.

Megat berkata masyarakat seharusnya tidak memandang serong punca pendapatan Lee Peng ketika ini apatah lagi ia adalah jalan hidup yang dipilihnya.

Katanya, masyarakat harus bersikap lebih positif dan membantu Lee Peng dalam urusan jualannya daripada hanya 'bijak' menzahirkan rasa simpati.

"Kita sebagai rakyat Malaysia, hormati kehendak dan kemahuan Koh Lee Peng ini," kata Megat yang melihat punca rezeki bekas atlet ini seharusnya tidak diperbesarkan oleh mana-mana pihak.

"Menjual tisu ataupun menjalankan perniagaan kecil-kecilan ini secara sendirinya adalah satu perkara yang mulia, saya berharap masyarakat tak memandang keji caranya itu.

"Bagi saya, ini bukan isu besar dan kita perlu sokong perniagaan dan berikan semangat kepadanya. Kalau nak menghargai, beli barangan yang dijual olehnya.

"Saya percaya banyak peluang diberikan kepadanya, namun dia memilih untuk mengikut kehendak dan masa bersesuaian dan akhirnya dia memilih untuk menjual barangan kecil-kecilan ini."

Kisah Lee Peng kembali menjadi bualan apabila seorang pengguna laman sosial Twitter memuatnaik rentetan pertemuannya dengan pemenang tujuh pingat emas dan tiga perak di Sukan Para ASEAN dari 2001 hingga 2005 itu di Bukit Bintang, baru-baru ini.

Susulan itu, ramai mempersoalkan peranan badan berwajib bagi membantu Lee Peng namun hakikatnya, bekas atlet dari Pulau Pinang itu sebenarnya sudah menerima pelbagai sumbangan termasuk peluang menyertai kursus kemahiran di bawah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dari 2019 lagi.

"Marilah kita sokong Koh Lee Peng dan kita hormati keputusannya. Dia tak mahu dikasihani atau bergantung kepada kerajaan dan dia seorang individu yang perlu dihormati.

"Saya tak merasakan perkara ini sesuatu yang keji atau dipandang hina. Marilah kita raikan kejayaan dia dan menghormati kehendak dia. Hormati cara dia berdikari dengan kaki sendiri bagi mencari pendapatan," kata Megat.

Berita Harian X