Isnin, 10 Januari 2022 | 2:45pm
Gambar fail, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN.
Gambar fail, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN.

Wujudkan semula Program Rakan Sukan

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyeru Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bekerjasama dengan badan induk itu bagi mewujudkan semula Program Rakan Sukan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengatasi masalah pengurangan peruntukan kewangan yang dialami ketika ini.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ia penting terutama dalam mengatasi masalah pembayaran elaun latihan bulanan atlet pada tahun ini yang dianggap tidak wajar apabila menyaksikan pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA/Para ASEAN menerima RM800 sebulan.

"Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) mengatakan ada beberapa sebab atlet digugurkan dengan persetujuan persatuan sukan kebangsaan. Antaranya masalah prestasi, jumlah atlet yang berlebihan dan memang digugurkan kerana kurang peruntukan.

"Jadi, saya fikir kita harus melihat perkara ini secara menyeluruh terutama membabitkan elaun latihan sebanyak RM800 sebulan yang saya anggap tidak wajar. Bagi saya, ia mestilah berpatutan untuk atlet menyara diri mereka.

"Tempoh produktif atlet sukan lebih kurang 10 tahun, mungkin bermula usia mereka 20 hingga 30 tahun. Jadi, dalam tempoh 10 tahun itu saja yang kita perlu jaga mereka bukan selamanya," katanya kepada BH Sukan.

Program Rakan Sukan diilhamkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Ghani Othman, dan dilancarkan pada 1 Ogos 1994.

Program lima tahun itu bertujuan menyatukan tenaga, kepakaran dan sumber kewangan, terutama dari syarikat korporat dan persatuan sukan, bagi mencungkil bakat-bakat baru serta meningkatkan prestasi sukan negara.

Sebanyak 28 sektor korporat serta 27 persatuan sukan kebangsaan bersetuju menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM18.65 juta setahun.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjadi penerima terbesar apabila disalurkan dana RM4 juta oleh Rakan Sukannya, Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton), manakala persatuan sukan lain, rata-rata menerima RM1 juta setahun.

Sebagai galakan, syarikat korporat terbabit pula diberi status pengecualian cukai oleh Kementerian Kewangan.

Dalam masa sama, Norza memberitahu pihaknya juga sudah mendapat komitmen daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Shapawi yang mereka akan sedaya upaya untuk memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan.

"MSN juga memberikan komitmen mereka bahawa mana-mana atlet yang layak ke Sukan SEA, Komanwel dan Asia dalam kategori A biarpun tidak berada dalam program, mereka akan melihat bagaimana untuk memberi peruntukan kepada atlet berkenaan sebagai persiapan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan pemerhati sukan tanah air, Mohd Sadek Mustaffa agar pengumpulan dana awam dilakukan sebagai alternatif mengatasi kekangan dana ketika ini, Norza berpandangan ia bukan penyelesaian yang menyeluruh.

"Saya fikir kita perlu melaksanakan sesuatu yang boleh menampung jangka pendek dan panjang., kita tidak boleh buat 'crowfunding' setiap kali masalah seperti ini timbul. Selain itu, ia juga akan membabitkan akautabiliti, urus tadbir yang baik dan macam-macam lagi. Jadi, ia bukan penyelesaiannya," katanya.

Terdahulu, Shapawi berkata, secara keseluruhan sebanyak RM27.5 juta peruntukan disediakan bagi membiayai program latihan atlet bagi tahun ini.

Susulan peruntukan kewangan yang terhad itu, MSN terpaksa mengurangkan penyertaan atlet dalam program latihan tahun ini dengan hanya 248 ditawarkan kontrak baharu berbanding 432 tahun lalu.

Bagi atlet para pula, sebanyak 45 atlet dipilih meneruskan program tahun ini berbanding 114 pada tahun lalu manakala sebanyak 178 atlet pelapis ditawarkan kontrak baharu berbanding 260 tahun lalu dan 22 bagi atlet pelapis para.

Malah, MSN terpaksa melakukan penstrukturan semula skim bayaran elaun bagi atlet yang ditawarkan kontrak baharu untuk mengikuti program latihan tahun ini, susulan peruntukan kewangan yang terhad daripada kerajaan.

Bagi atlet yang memenangi emas Sukan SEA/Para ASEAN, mereka akan menerima bayaran elaun sebanyak RM2,000 manakala RM800 bagi perak dan gangsa.

Untuk temasya Sukan Komanwel dan Asia/Para Asia, pemenang emas akan menerima RM4,500 manakala perak RM4,000 dan gangsa RM3,500.

Pemenang emas Sukan Olimpik/Paralimpik pula akan menerima bayaran elaun RM7,500 manakala perak RM7,000 dan gangsa RM6,500.

Berita Harian X