Rabu, 5 Januari 2022 | 8:39pm
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (tengah) pada sidang media program latihan atlet 2022 di pejabat MSN, Bukit Jalil. - Foto ihsan MSN.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (tengah) pada sidang media program latihan atlet 2022 di pejabat MSN, Bukit Jalil. - Foto ihsan MSN.

MSN struktur semula skim bayaran elaun atlet

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) melakukan penstrukturan semula skim bayaran elaun bagi atlet yang ditawarkan kontrak baharu untuk mengikuti program latihan tahun ini, susulan peruntukan kewangan yang terhad daripada kerajaan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata bagi menyesuaikan perbelanjaan dengan peruntukan yang diterima, pihaknya terpaksa melakukan penyelarasan.

Katanya, pembayaran akan dibuat berdasarkan pencapaian atlet di empat temasya utama iaitu Sukan SEA, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

"Sebelum ini skim yang kita ada, mereka yang memenangi pingat gangsa (Sukan SEA) akan menerima kadar yang sama dengan emas. Jadi, ini menimbulkan banyak kegusaran di kalangan atlet yang mana kadar berkenaan tidak memberi motivasi kepada mereka yang dapat gangsa.

"Dalam masa yang sama, pemenang emas rasa sedikit tidak puas hati disebabkan kadar yang sama dibayar kepada pemenang gangsa. Jadi, kami balik kembali kepada skim yang lama iaitu elaun berdasarkan prestasi.

"Kalau mereka prestasi setakat gangsa, elaun juga bersesuaian dengan gangsa. Memang akan terdapat sedikit pengurangan tetapi ia lebih bersesuaian dengan prestasi mereka," katanya dalam sidang media di MSN Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Bagi atlet yang memenangi emas Sukan SEA, mereka akan menerima bayaran elaun sebanyak RM2,000 manakala RM800 bagi perak dan gangsa.

Untuk temasya Sukan Komanwel dan Asia, pemenang emas akan menerima RM4,500 manakala perak RM4,000 dan gangsa RM3,500.

Pemenang emas Sukan Olimpik pula akan menerima bayaran elaun RM7,500 manakala perak RM7,000 dan gangsa RM6,500.

Dalam pada itu, Shapawi, berkata secara keseluruhan sebanyak RM27.5 juta peruntukan disediakan bagi membiayai program latihan atlet bagi tahun ini.

Susulan peruntukan kewangan yang terhad, MSN terpaksa mengurangkan penyertaan atlet dalam program latihan tahun ini dengan hanya 248 ditawarkan kontrak baharu berbanding 432 tahun lalu.

Bagi atlet para pula, sebanyak 45 atlet dipilih meneruskan program tahun ini berbanding 114 pada tahun lalu manakala sebanyak 178 atlet pelapis ditawarkan kontrak baharu berbanding 260 tahun lalu dan 22 bagi atlet pelapis para.

Berita Harian X