KUALA LUMPUR: Misi Bantuan Pakaian Sukan Untuk Mangsa Banjir yang dicetuskan Kumpulan Pengamal Media Sukan tanah air, hari ini menyampaikan sumbangan daripada peminat sukan dan bekas atlet kepada mangsa musibah itu di kawasan Hulu Langat, Selangor.
Misi diketuai Datuk Jasni Shafie itu disertai beberapa kenderaan pacuan empat roda daripada pasukan penganjur acara pacuan empat roda terbaik antarabangsa, Rain Forest Challenge(RFC).
"Kami bersyukur, dapat menyampaikan barang disumbangkan oleh pelbagai pihak dan berharap ia dapat membantu mangsa banjir yang kehilangan harta benda, khususnya pakaian beriadah dan bersukan," kata Jasni mengulas mengenai misi yang diagihkan di Pekan Batu 18, Pekan Batu 14, Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui itu.
Misi bantuan ini agak unik kerana ia mengumpulkan pakaian berkaitan sukan kerana tujuan utama ialah supaya mereka yang terbabit dalam banjir dapat kembali meneruskan kehidupan aktif dan bersukan selepas pakaian sukan mereka rosak selepas rumah mereka ditenggelami banjir baru-baru ini.
"Sedikit sebanyak barangan yang disampaikan, dengan terus kepada sasaran, akan membantu mereka mula beriadah dan bersukan secepat mungkin selepas banjir pulih," kata bekas wartawan sukan, Azman Suradi yang turut menjadi mangsa banjir apabila rumahnya ditenggelami air.
Sementara itu, Ketua Kumpulan Pacuan Empat Roda RFC, Atan Aris pula berkata, mereka berbangga bersama dalam misi ini kerana dapat memberikan sumbangan membantu mangsa banjir dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda masing-masing.
"Kami akan terus memberikan sokongan kepada misi ini kerana ia lebih fokus iaitu menyampaikan sumbangan berbentuk pakaian sukan kepada mangsa banjir yang terjejas, terutama anak muda dan murid sekolah," kata Atan.
Misi ini dilancarkan dua minggu lalu bertujuan membantu mangsa banjir yang kehilangan atau kerosakan harta benda termasuk pakaian dalam musibah banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia.