Rabu, 29 Disember 2021 | 7:10pm
Nik Erman mahu pihak berkuasa perbanyakkan program kesedaran mengenai rasuah dan aspek perundangan sukan.
Nik Erman mahu pihak berkuasa perbanyakkan program kesedaran mengenai rasuah dan aspek perundangan sukan.

Pemimpin persatuan sukan tidak sedar lakukan rasuah

KUALA LUMPUR: Kurangnya tahap kesedaran mengenai bentuk rasuah dalam kalangan pemimpin badan sukan didakwa menjadi salah satu faktor aktiviti tidak bermoral itu kini dilihat seolah-olah sudah menjadi budaya.

Pengamal Undang-Undang Sukan, Nik Erman Nik Roseli, berkata rasuah bukan hanya membabitkan wang ringgit, sebaliknya sebarang bentuk tawaran atau habuan yang dijanjikan demi kepentingan peribadi adalah salah.

"Saya lihat pengetahuan mengenai rasuah itu masih kurang dalam kalangan pemimpin badan sukan. Mereka kadang-kadang lihat orang lain buat, mereka pun buat tetapi sebenarnya tidak sedar apa yang dilakukan itu adalah rasuah.

"Kalau rasuah duit mungkin lebih jelas tetapi apabila mereka tidak beri apa-apa duit, mungkin mereka sangka tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Sebab itu, pentingnya pihak berkuasa atau pihak berkaitan memperbanyakkan lagi program kesedaran mengenai rasuah ini dan aspek perundangan sukan. Melalui pengalaman saya, bukan saja rasuah, tetapi banyak lagi aspek perundangan sukan yang ramai tidak tahu termasuklah berhubung kontrak, penajaan dan disiplin," katanya kepada BH Sukan.

Semalam, BH Sukan melaporkan tawaran menjadi pengurus pasukan ke kejohanan dan temasya sukan di luar negara adalah habuan 'popular' yang dijanjikan pemimpin persatuan sukan kebangsaan untuk meraih undi dan memenangi jawatan masing-masing apabila pemilihan barisan kepimpinan tertinggi persatuan sukan kebangsaan diadakan.

Selain itu, mereka juga sering menjanjikan untuk menawarkan jawatan tertentu kepada perwakilan bagi memastikan kemenangan dalam pemilihan.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad yang turut mempunyai pengalaman membarisi tampuk kepimpinan persatuan sukan kebangsaan mendakwa janji dan tawaran itu wujud.

Nik Erman, berkata kuasa dan jawatan yang ditawarkan dalam badan sukan mempunyai kelebihan yang tersendiri dan menjadi salah satu faktor mengapa ramai individu berlumba-lumba untuk mendapatkannya sekali gus membuka ruang kepada kegiatan rasuah.

"Antaranya adalah pengaruh dan wang ringgit. Badan sukan masih menerima peruntukan daripada kerajaan yang mana kita masih belum tahap badan sukan menghasilkan pendapatan mereka sendiri.

"Jadi, orang yang ada kuasa mempunyai akses kepada duit. Apa yang mereka buat dengan duit itu, kita tidak tahu sama ada digunakan dengan betul atau sebaliknya," katanya.

Berita Harian X