Selasa, 28 Disember 2021 | 11:05pm
Mazlan akui terdapat tindakan beli pengaruh dalam usaha pemimpin persatuan sukan memenangi jawatan dalam pemilihan.
Mazlan akui terdapat tindakan beli pengaruh dalam usaha pemimpin persatuan sukan memenangi jawatan dalam pemilihan.

Tawaran jadi pengurus habuan 'popular'

KUALA LUMPUR: Tawaran menjadi pengurus pasukan ke kejohanan dan temasya sukan di luar negara adalah habuan 'popular' yang dijanjikan pemimpin persatuan sukan kebangsaan untuk meraih undi dan memenangi jawatan masing-masing apabila pemilihan barisan kepimpinan tertinggi diadakan.

Selain itu, mereka juga sering menjanjikan untuk menawarkan jawatan tertentu kepada perwakilan bagi memastikan kemenangan dalam pemilihan.

Sekali imbas, ia dilihat bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi hakikatnya ia adalah salah satu bentuk rasuah yang jelas menyalahi undang-undang.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad yang turut mempunyai pengalaman membarisi tampuk kepimpinan persatuan sukan kebangsaan mendakwa janji dan tawaran itu wujud.

Katanya, ia adalah tindakan untuk membeli pengaruh dalam usaha mendapat jawatan dalam mana-mana persatuan sukan.

"Kalau takrif rasuah itu diambil kira, dari sekecil-kecilnya sehinggalah membabitkan bayaran wang ringgit, memang ada unsur rasuah.

"Ia seperti kalau kau undi aku, aku bagi kau jadi pengurus ke Sukan SEA yang mana sekali gus dapat peluang ke luar negara. Nampak macam perkara biasa tetapi hakikatnya salah.

"Ia seperti kita mahu membeli pengaruh, tindakan seperti ini tidak 'gentlemen'. Ia akan menjadikan pertandingan dalam pemilihan tidak sihat," kata Mazlan kepada BH Sukan.

Mazlan yang pernah menyandang jawatan Setiausaha Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), berkata apabila wujud tindakan seperti itu, ia akan mengakibatkan persatuan sukan kebangsaan tidak mendapat calon yang benar-benar layak sebagai pemimpin.

"Ia boleh mengakibatkan persatuan itu nanti tidak terurus. Bukan kata semua yang melakukan perkara itu tidak bagus, tetapi tidak boleh diamalkan.

"Kalau sudah biasa dengan tolak-ansur seperti ini, ia akan terbawa-bawa dalam semua tindakan atau keputusan yang akan dibuat sehingga soal pemilihan atlet turut akan terkesan," katanya.

Selain itu, Mazlan mendakwa beliau turut tidak menolak kemungkinan individu yang beriya-iya untuk mendapatkan jawatan dalam persatuan sukan dapat melihat peluang yang ada untuk mereka 'membuat duit' dengan menyalah gunakan kuasa.

"Kalau kita duduk di luar mungkin kita tidak nampak, tetapi apabila saya sendiri pernah duduk dalam persatuan, barulah saya tahu.

"Peluang memang ada, kalau kita mahu salah gunakan kuasa, macam-macam cara ada dan salah satunya adalah menerusi pembelian peralatan sukan untuk persatuan," katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam ucapannya ketika Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Badan Sukan Kebangsaan, 2021, baru-baru ini mendedahkan terdapat pentadbir dalam badan sukan negara mengamalkan rasuah untuk terus kekal berkuasa dalam organisasi terbabit.

Katanya, amalan memberikan habuan atau jawatan tertentu dalam sesebuah badan sukan negara hari ini perlu dihentikan dengan segera.

Bagaimanapun, dalam ucapannya itu juga, Ahmad Faizal, berkata berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari 2019 sehingga Oktober 2021 terdapat 2,916 kes kesalahan rasuah yang dilaporkan dan difahamkan hanya 0.13% atau 15 kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan badan sukan.

Daripada jumlah berkenaan hanya sebilangan kecil sahaja yang telah disabitkan dengan kesalahan dan dijatuhkan hukuman di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Berita Harian X