Selasa, 21 Disember 2021 | 9:06pm
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. - Foto BERNAMA
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. - Foto BERNAMA

Norza tak setuju penetapan baharu MSN

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tidak bersetuju dengan penetapan baharu Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung kedudukan atlet dalam program latihan sepenuh masa bermula tahun depan.

Beliau berkata pihak terbabit perlu melihat kepada semua aspek secara holistik di samping memulakan proses pembinaan semula sukan negara yang terjejas pascapandemik COVID-19 sebelum melaksanakan penetapan baharu itu.

"Ia perlu dikaji semula dan kajian itu mesti memberi peluang kepada semua atlet yang ada untuk kembali semula dan bertanding selepas krisis pandemik ini berlalu," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan MSN baru-baru ini yang menetapkan pencapaian di peringkat kejohanan tertinggi sejak 2019 sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan kendalian MSN bermula 2022.

Penetapan syarat lebih ketat itu adalah langkah diperkenalkan semula MSN selepas berdepan realiti tiadanya peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamat temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ia menyaksikan hanya 288 atlet yang benar-benar layak dikekalkan bagi mengikuti program latihan sepenuh masa menjelang tiga temasya utama tahun depan iaitu Sukan SEA Hanoi di Vietnam; Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom; dan Sukan Asia serta Sukan Para Asia di Hangzhou, China.

"Kalau kita cakap pasal pencapaian pun kita tiada pencapaian tahun sebelum ini disebabkan pandemik, jadi penanda arasnya belum ada lagi," katanya sambil menyifatkan pencapaian dari 2019 itu adalah terlalu lama untuk dijadikan sebagai penanda aras.

Mohamad Norza yang juga Ahli Lembaga Pengurus MSN berkata beliau telah membangkitkan persoalan mengenai penetapan itu pada Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN dua minggu lalu.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN harus mendapatkan lebih peruntukan bagi memastikan Program Podium yang dimulakan pada 2015 dapat diteruskan memandangkan program itu adalah komponen penting dalam pembangunan atlet elit negara.

Difahamkan lebih 550 atlet termasuk 100 lebih atlet para berada dalam Program Podium sebelum ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata meskipun atlet tertentu tidak akan berlatih di bawah MSN lagi, KBS akan sentiasa memantau keadaan mereka dari semasa ke semasa, dan memastikan latihan akan terus dijalankan di bawah persatuan masing-masing.

- BERNAMA

Berita Harian X