Sabtu, 18 Disember 2021 | 6:49pm
(Dari kiri) Pengerusi Pertandingan Roslan S Ismail; PresidenPLBM, Datuk Awalan Abdul Aziz; Timbalan Presiden PLBM, Tengku Datin Seri Noor Hazah Tengku Abdul Aziz Shah dan AJK Media Wan Norbazly Wan Azmi bersama hadiah pada sidang media kejohanan open mixed fours bersama menteri dan media di pejabat  PLBM Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara, semalam. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi.

Rayu Pusat Boling Padang Nasional di Bukit Kiara kekal

KUALA LUMPUR: Persatuan Boling Padang Malaysia (PLBM) berharap gelanggang Pusat Boling Padang Nasional di Bukit Kiara dekat sini, dapat dikekalkan selepas timbul spekulasi kawasan itu kemungkinan akan dibangunkan pihak swasta.

Presidennya, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata pihaknya akan mempertahankan pusat berkenaan yang disifatkan sebagai lokasi yang strategik sekali gus memudahkan atlet negara menjalani latihan tanpa sebarang masalah.

Katanya, biarpun status pajakan venue berkenaan masih belum diketahui, namun beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk terus mengekalkannya sebagai pusat boling padang negara demi kemajuan sukan itu pada masa akan datang.

"Venue ini mempunyai memori indah apabila berjaya melahirkan atlet yang menyumbang banyak pingat untuk negara selain turut menjadi lokasi pertandingan untuk kejohanan antarabangsa.

"Kita sebenarnya akan 'fight' untuk kekalkan tapak ini kerana bukan saja ada nostalgia namun cukup strategik. Tempat ini juga sesuai sebagai tumpuan untuk mempopularkan sukan boling padang terutama sebagai pusat latihan dan juga pertandingan.

"Kita harapkan kerajaan dapat pertimbangkan kembali untuk kekalkan tempat ini sebagai pusat aktiviti boling padang," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sebagai rekod, gelanggang di Bukit Kiara banyak digunakan untuk menganjurkan pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998, Kejohanan Boling Padang Asia Pasifik pada 1999 dan 2009 selain Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Berita Harian X