Jumaat, 17 Disember 2021 | 10:13pm
Gambar fail - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Gambar fail - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Program Podium perlu RM40 juta lagi

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sebanyak RM40 juta lagi diperlukan untuk membolehkan program latihan atlet berprestasi tinggi dapat dilaksanakan seperti dirancang sebelum ini.

Katanya, disebabkan kekangan peruntukan, Program Podium yang diperkenalkan lima tahun lalu terpaksa ditamatkan pada tahun ini sekali gus memaksa pihaknya untuk 'mengorbankan' hampir separuh atlet dalam program berkenaan.

"Kalau kita mahu pergi jauh dalam keadaan sekarang dapat RM40 juta lagi sudah mencukupi," katanya.

Semalam, Ahmad Faizal dilaporkan, berkata pihaknya mengharapkan kerjasama pihak swasta bagi memastikan program latihan atlet berprestasi tinggi dapat dijalankan seperti sedia kala.

Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini menetapkan pencapaian di peringkat tertinggi sebagai petunjuk prestasi utama untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan bermula tahun 2022.

Berdepan realiti tiadanya peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamatnya temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020, penetapan syarat lebih ketat ini adalah langkah perlu diperkenalkan semula.

Penilaian prestasi atlet dinilai sejak dari 2019 susulan dunia sukan negara dan antarabangsa seolah-olah terhenti sementara sepanjang tahun 2020 sehingga kini.

Tindakan ini diterjemahkan dengan langkah mengekalkan atlet yang benar-benar layak bagi program latihan sepenuh masa untuk tempoh persiapan menghadapi tiga temasya utama – Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia/ Para Asia – pada tahun depan.

Sementara itu, Ahmad Faizal, berkata atlet yang 'disingkirkan' dalam program terbabit akan meneruskan latihan bersama persatuan negeri masing-masing dan pada waktu tertentu akan dipanggil menjalani latihan secara berpusat.

"50 peratus berlatih dengan persatuan masing-masing ini dari semasa ke semasa kita akan adakan latihan secara berpusat selama sebulan tidak lama untuk pastikan prestasi mereka berada pada tahap optimum," katanya.

Berita Harian X