Jumaat, 17 Disember 2021 | 10:12pm
Gambar fail - Sukan boling padang lubuk pingat kepada negara di temasya sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA.- Foto BERNAMA
Gambar fail - Sukan boling padang lubuk pingat kepada negara di temasya sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA.- Foto BERNAMA

Pingat emas terjejas jika atlet boling padang digugur

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz mengakui jika ada atlet badan induk itu terpaksa digugurkan daripada program latihan berprestasi tinggi, ia akan menjejaskan perancangan pasukan untuk mempertahankan pingat terutama di Sukan SEA.

Beliau berkata kontinjen negara perlu bersedia kemungkinan gagal mempertahankan kilauan pingat yang sebelum ini dimenangi Malaysia apabila atlet berpotensi digugurkan daripada menyertai program berprestasi tinggi itu.

Katanya, PLBM ketika ini masih menunggu keputusan dan penjelasan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung perkara berkenaan.

"Saya mahu dengar penjelasan daripada MSN kerana seperti sedia maklum, boling padang adalah lubuk pingat kepada negara. Sukan ini juga ada potensi sebab itu kita dalam Program Podium.

"Jika bilangan atlet dikurangkan, maka susahlah untuk menang dan secara teknikalnya kita sudah gagal sebelum bertanding.

"Sekiranya atlet boling padang terkeluar…saya tak tahu apa yang berlaku atau apa yang berlaku podium sendiri akan 'terkeluar'(kalah) kalau terkeluar apa justifikasinya, itu perlu saya tahu," katanya ketika sidang media Kejohanan Open Mixed FourS Menteri-SAM 2021, di Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara, di sini, hari ini.

MSN sebelum ini menetapkan pencapaian di peringkat tertinggi sebagai petunjuk prestasi utama untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan bermula tahun 2022.

Berdepan realiti tiadanya peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamatnya temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020, penetapan syarat lebih ketat ini adalah langkah yang perlu diperkenalkan semula.

Penilaian prestasi atlet dinilai sejak dari 2019 ekoran dunia sukan negara dan antarabangsa seolaholah terhenti sementara sepanjang tahun 2020 sehingga kini.

Tindakan ini diterjemahkan dengan langkah mengekalkan atlet yang benar-benar layak bagi program latihan sepenuh masa untuk tempoh persiapan menghadapi tiga temasya utama – Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia/ Para Asia – pada tahun depan.

Berita Harian X