Rabu, 15 Disember 2021 | 8:19pm
Ahmad Faizal (kanan) akui tiada peruntukan khusus jadi punca syarat ketat diperkenalkan untuk program latihan sepenuh masa atlet tahun depan.
Ahmad Faizal (kanan) akui tiada peruntukan khusus jadi punca syarat ketat diperkenalkan untuk program latihan sepenuh masa atlet tahun depan.

Syarat ketat program latihan sepenuh masa

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan pencapaian di peringkat tertinggi sebagai petunjuk prestasi utama untuk atlet kekal dalam program latihan sepenuh masa bermula tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, syarat ketat itu perlu diambil susulan tiadanya peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamatnya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Kita hanya akan mengekalkan atlet yang benar-benar layak bagi program latihan sepenuh masa untuk tempoh persiapan menghadapi tiga temasya utama iaitu Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia/Para Asia tahun hadapan.

"Langkah ini perlu untuk memastikan atlet berkualiti terus mendapat sokongan dan perkhidmatan terbaik bagi menjamin kejayaan di peringkat tertinggi secara konsisten," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, jumlah atlet yang dikenal pasti akan kekal mengikuti program latihan secara sepenuh masa adalah seramai 288 atlet yang juga kumpulan atlet berpotensi meraih pingat pada tiga temasya sukan berkenaan.

"Kementerian Belia dan Sukan melalui MSN bagaimanapun tetap akan berusaha mendapatkan peruntukan dana tambahan bagi membolehkan lebih ramai atlet mengikuti program latihan sepenuh masa.

"Tetapi dengan kualiti menjadi petunjuk prestasi utama, atlet yang digugurkan perlu terlebih dahulu membuktikan kemampuan mereka secara konsisten di pentas saingan tertinggi sebelum dapat kembali menikmati status yang pernah

mereka miliki sebelum ini," tambahnya.

Berita Harian X