Selasa, 14 Disember 2021 | 6:27pm
Datuk Mohd Azizulhasni Awang ketika meraikan kejayaan memenangi acara pecut pada Kejohanan Dunia di Berlin pada 1 Mac 2020.- Foto AFP.
Datuk Mohd Azizulhasni Awang ketika meraikan kejayaan memenangi acara pecut pada Kejohanan Dunia di Berlin pada 1 Mac 2020.- Foto AFP.

Azizulhasni, Pandelela antara disenarai pendek ASN 2019/2020

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berada dalam senarai pendek pencalonan Olahragawan Kebangsaan bagi Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 di Hotel Dorsett Grand, Subang Jaya pada 21 Disember ini.

Selain Azizulhasni turut tersenarai adalah Mohd Syahrul Azman Mahen Abdullah (bina badan), Khairul Anuar Mohamad (memanah), Timmy Tan Chye Chern (tenpin boling) dan Wong Weng Son (wushu).

Dalam pada itu, Datuk Pandelela Rinong Pamg berada dalam senarai bagi Olahragawati Kebangsaan bersama Tan Cheong Min (wushu), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (tenping boling) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik).

Bagi kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, atlet para memanah, S Suresh mengetuai pencalonan diikuti Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting), Cheah Like Hou (para badminton), Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (para renang) dan Chew Wei Lun (boccia).

Begitupun, tiada pencaloan diterima bagi kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan berkata, Jawatankuasa Pemilihan MSN yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Ramona Mohd Razali menerima 68 pencalonan untuk 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

"Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000," kata kenyataan itu.

ASN turut menawarkan tujuh anugerah lain iaitu Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

ASN yang diperkenalkan sejak 1966, adalah satu pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.

Berita Harian X