Sabtu, 11 Disember 2021 | 5:31pm
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah.

MOM bimbang persiapan kontinjen negara terjejas

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyuarakan kebimbangan persiapan kontinjen negara bagi menghadapi tiga temasya besar tahun depan akan terjejas tanpa peruntukan kewangan yang sewajarnya.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata pihaknya menerima keluhan daripada persatuan sukan yang bimbang sekiranya peruntukan dipotong ataupun tiada langsung dalam mempersiapkan atlet menjelang Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

Katanya, pihaknya tidak mahu perkembangan sukan negara yang sepatutnya berkembang positif ke depan tetapi disebabkan masalah kewangan ia kembali ketinggalan.

"Ketika negara lain sedang fokus (persiapan) persatuan masih lagi kabur mengenai peruntukan, sedangkan sebelum ini kita mempunyai Program Podium yang diperkenalkan pada 2015 dan memberi impak sebelum ia dihentikan.

"Kita akan merayu kepada menteri dan kerajaan agar sukan diberikan hak kerana ia memberikan peranan penting dalam pembangunan negara.

"Ada persatuan mengakui mereka menerima surat yang mengatakan atlet mereka sudah diberhentikan daripada program tertentu, ada juga yang meminta peruntukan tetapi tidak dapat.

"Jadi banyak kebimbangan mengenai peruntukan terutama menjelang 2022. Sedangkan mereka perlu mempersiapkan atlet untuk Sukan SEA, Komanwel dan Asia.

"Majlis MOM melihat perkara ini perlu diperjelaskan sebaiknya. Ini disebabkan atlet sudah menghabiskan masa ketika gelembung sukan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ini akan memberikan tekanan dari segi mental buat mereka jika diberitahu dana dipotong ketika mereka sedang membuat persediaan, ia tidak adil buat mereka," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM Ke-199 di sini, hari ini.

Sukan SEA Vietnam 2022 bakal berlangsung 12 hingga 23 Mei, diikuti Sukan Komanwel di Birmingham 28 Julai hingga 8 Ogos sebelum Sukan Asia di Hangzhou, China bermula 10 hingga 25 September.

Berita Harian X