Rabu, 8 Disember 2021 | 6:14pm
Lee Kher raih dua emas dalam acara renang.
Lee Kher raih dua emas dalam acara renang.

Kontinjen AYPG bawa pulang 13 pingat

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara mengakhiri saingan Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 yang berakhir, kelmarin di Bahrain dengan membawa pulang tiga pingat emas, lima perak dan lima gangsa.

Skuad renang menyumbangkan dua emas menerusi Zy Lee Kher dalam acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki S1-5 dan Ong Jia Xuan bagi acara 100m kuak dada perempuan SB4-9 manakala Gloria Gracia Wong Sze mengungguli saingan ping pong perempuan kategori SF9-10.

Lee Kher, 15, muncul atlet muda negara paling menyerlah yang disifatkan sebagai bintang dalam pembikinan apabila dia turut meraih satu perak dalam acara 200m kuak kupu-kupu S2-7 dan gangsa 200m rampaian individu SM5-10.

Perenang yang dilahirkan tanpa dua kaki dan cacat di bahagian lengan itu kini menetapkan sasaran untuk beraksi di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, berkata pencapaian di Bahrain membuktikan betapa pentingnya untuk memberi fokus kepada program pembangunan remaja negara.

"Saya sudah menekankan perkara ini kepada semua pihak berkepentingan tentang keperluan untuk mencari bakat baharu dengan mendedahkan atlet remaja kita lebih awal bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa.

"Pendedahan ini pasti akan meletakkan harapan baru dan memacu keazaman mereka untuk lebih cemerlang.

"Saya gembira bahawa Majlis Sukan Negara khususnya telah melabur dalam membiayai kontinjen untuk temasya kali ini dan mereka kini mempunyai sekumpulan bakat baharu untuk berkembang menjadi Paralimpian pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seramai 13 atlet membawa cabaran negara pada AYPG kali ini dan mengambil bahagian dalam enam daripada sembilan acara sukan yang dipertandingkan.

Sebagai rekod, Malaysia mula menyertai AYPG sejak 2009 dan sudah memenangi 102 pingat - 32 emas, 35 perak dan 35 gangsa.

Pada edisi 2017 di Dubai, kontinjen negara yang dibarisi 12 atlet mengambil bahagian dalam lima sukan yang dipertandingkan dan membawa pulang lima emas, satu perak dan dua gangsa.

Berita Harian X