Ahad, 28 November 2021 | 4:29pm
Kontinjen negara yang menyertai AYPG di Bahrain bergambar sebelum bertolak ke KLIA, hari ini.
Kontinjen negara yang menyertai AYPG di Bahrain bergambar sebelum bertolak ke KLIA, hari ini.

Malaysia beri laluan kepada Uzbekistan

KUALA LUMPUR: Malaysia menunjukkan semangat kesukanan tinggi apabila memberi laluan kepada Uzbekistan untuk menjadi tuan rumah Sukan Remaja Para Asia (AYPG) 2025.

Perkara itu diumumkan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang menyatakan keputusan itu diputuskan demi memberi peluang kepada negara itu menjadi tuan rumah buat kali pertama.

"Ini bukan bermakna kita kalah tetapi memberi laluan kepada Uzbekistan kerana Malaysia pernah menjadi tuan rumah. Jadi, peluang itu diberikan negara berkenaan untuk menjadi tuan rumah buat kali pertama.

"Sarawak daripada segi meritnya, mempunyai stadium, fasiliti yang pada kita lebih dekat dan mudah. Namun kita memberi laluan supaya setiap negara dapat merasai menganjurkan temasya itu.

"Kita menghormatinya dan memberikan laluan untuk mereka melakukannya. Itu semangat kesukanan yang kita lakukan," kata Megat kepada media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang AYPG Bahrain 2021 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia di Kampong Pandan, hari ini.

Untuk rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah temasya itu pada 2013.

Mengulas mengenai penyertaan Malaysia di Manama, Bahrain dari 2 hingga 6 Disember ini, Megat berkata, tiada sasaran diletakkan namun mengharapkan kontinjen dapat melakukan kejutan.

"Kita tak meletakkan sasaran sebagai keutamaan namun ia lebih kepada untuk memastikan ada pemulangan pelaburan selama dua tahun ini di mana atlet berlatih, jurulatih menerima gaji serta elaun (dalam tempoh COVID-19).

"Mungkin pendekatan kita dan MSN (Majlis Sukan negara) ini adalah untuk memberikan mereka pendedahan di peringkat antarabangsa," kata Megat.

Seramai 13 atlet dan 16 pegawai terpilih ke Bahrain kali ini dengan menyertai enam jenis sukan seperti renang, olahraga, badminton, boccia dan powerlifting.

Antara nama yang berada dalam senarai kontinjen adalah atlet paralimpik di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Brenda Anellia Larry.

"Antara sukan yang kita berikan penekanan kali ini (menghasilkan pingat), adalah seperti renang di mana Brenda paling berpengalaman dan harap dia boleh menyumbang pingat.

"Selain itu seperti angkat berat dan juga olahraga. Jadi, harapan itu berat kepada mereka tetapi kalau yang lain boleh melakar kejutan seperti di Tokyo, itu juga sesuatu yang kita harapkan," kata Megat.

Berita Harian X