Sabtu, 27 November 2021 | 8:33pm
Pekan akui pemberian habuan dan jawatan boleh rosakkan pembangunan sukan negara.
Pekan akui pemberian habuan dan jawatan boleh rosakkan pembangunan sukan negara.

Banteras segera pemberian habuan dalam persatuan sukan

KUALA LUMPUR: Pemberian habuan atau jawatan tertentu dalam sesebuah badan sukan kebangsaan harus dikekang daripada terus berleluasa.

Penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli berkata budaya itu harus dibendung bagi mengelakkan kemasukan perkara negatif yang mampu merosakkan pembangunan sesebuah sukan itu.

"Apabila seseorang itu berkuasa, memimpin sesebuah badan sukan kebangsaan dan yang berada di bawahnya adalah orang yang ikut telunjuknya, maka akan berlakulah banyak perkara atau ketirisan dalam persatuan itu.

"Ini sekali gus akan merencatkan atau merosakkan pembangunan sukan di peringkat negara sekiranya berlaku perkara sebegitu. Maksudnya, ia akan mendorong seseorang pemimpin itu menjadi kuku besi sebab yang di bawahnya jadi pengikut 'yes sir'.

"Jadi, itu tak bagus dan akan undang perkara negatif daripada segi pembangunan dan penyelewengan kewangan, keputusan yang berat sebelah, keputusan lebih kepada kehendak individu dan sebab itulah ia perlu dibendung," kata Pekan.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, terdapat pentadbir dalam badan sukan negara mengamalkan rasuah untuk terus kekal berkuasa dalam organisasi terbabit.

Katanya, amalan memberikan habuan atau jawatan tertentu dalam sesebuah badan sukan negara hari ini perlu dihentikan dengan segera.

Pekan dalam pada itu mencadangkan beberapa langkah bagi membendung gejala berkenaan antaranya mengimbangi antara kuasa mengundi ahli gabungan dengan undi daripada pihak luar.

"Kita perlu mengimbangi antara kuasa mengundi ahli gabungan kerana pada masa ini kuasa mengundi itu terletak kepada ahli gabungan. Mereka ini mudah dipengaruhi kerana mereka ahli gabungan dari negeri dan mereka tentunya inginkan jawatan di peringkat kebangsaan.

"Oleh itu, kuasa undi itu boleh dimanipulasi dan ia boleh berlaku (dalam mana-mana persatuan). Jadi, kita perlu mengimbangi undi ahli gabungan dengan undi daripada pihak luar atau bukan dalam kalangan ahli gabungan.

"Selain itu, apabila adanya proses pemilihan, kita mungkin perlu ada satu mekanisma lain iaitu adakan undi awam secara terbuka yang mengimbangi dengan undi daripada ahli gabungan.

"Dari situ boleh nampak, mana kehendak awam dan ahli gabungan," katanya yang turut mengharapkan supaya pihak Kementerian Belia dan Sukan serta Pejabat Pesuruhjaya Sukan memainkan peranan konsisten dalam membendung isu berkenaan.

Berita Harian X