Khamis, 25 November 2021 | 5:49pm
Ahmad Faizal (dua dari kanan) melihat atlet menggunakan Pusat Pemulihan Prestasi Tinggi Bersepadu ISN. - FOTO FB ISN
Ahmad Faizal (dua dari kanan) melihat atlet menggunakan Pusat Pemulihan Prestasi Tinggi Bersepadu ISN. - FOTO FB ISN

ISN lancar pusat pemulihan bernilai RM13 juta

KUALA LUMPUR: Selepas 10 tahun ditubuhkan, Institut Sukan Negara (ISN) akan terus memainkan peranan penting terhadap pembangunan sukan berprestasi tinggi negara menerusi pelancaran Pusat Pemulihan Prestasi Tinggi Bersepadu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan fasiliti bernilai RM13 juta yang terletak di ISN Bukit Jalil itu sebagai penanda aras baharu dalam bidang sains sukan negara.

"Ia bertaraf antarabangsa dan tentunya ia adalah berita baik buat atlet dan juga kepada awam. Saya bersyukur ia sudah disiapkan dan mula beroperasi, saya berharap ia digunakan dengan baik.

"Saya juga sudah meminta ISN memastikan penyelenggaraan fasiliti itu berada di tahap terbaik setiap masa untuk jangka masa panjang. Ia satu-satunya di Malaysia dan tentu sekali fasiliti yang baharu ini adalah amat membanggakan," katanya pada sidang media ketika Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 ISN di sini, hari ini.

Turut hadir, timbalannya, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker; Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Ramona Mohd Razali; Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Fasiliti berkenaan dilengkapi kemudahan rehabilitasi terkini bagi menyediakan atlet dengan teknik pemulihan yang canggih sekali gus dapat mengoptimumkan aspek prestasi serta proses pemulihan selepas latihan atau pertandingan.

Pusat pemulihan itu dibahagikan kepada dua kawasan iaitu basah yang merangkumi kolam renang berukuran 25 meter, kolam 'contrast bath' dan kolam rehabilitiasi sementara kawasan kering menyediakan kawasan latihan 'warm down' dengan dilengkapi beberapa peralatan untuk proses pemulihan.

Pusat pemulihan itu disediakan kepada atlet berprestasi tinggi, kelab-kelab sukan dan persatuan sukan selain turut dibuka kepada orang ramai.

Berita Harian X