Rabu, 8 September 2021 | 2:33pm
Muhammad Ziyad Zolkefli. - Foto NSTP
Muhammad Ziyad Zolkefli. - Foto NSTP

Peguam dakwa alasan Ziyad sukar diterima

KUALA LUMPUR: Langkah terakhir membawa isu dihadapi jaguh lontar peluru Sukan Paralimpik Tokyo, Muhammad Ziyad Zolkefli ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dilihat tidak berbaloi sekiranya berpandukan peraturan ditetapkan.

Berdasarkan pemerhatian awal peguam undang-undang sukan, Nik Erman Nik Roseli, mendapati agak sukar bagi kes ini untuk meraih kemenangan di CAS seandainya mengambil kira daripada alasan diberikan sesetengah pihak seperti yang dilaporkan pihak media.

"Daripada apa yang baca alasan kenapa lewat itu, saya rasa susah sikit kerana berdasarkan pemahaman saya, peraturan itu atau alasan itu kalau bukan silap atlet atau pegawai, baru boleh diambilkira," kata Nik Erman yang berpandukan kepada Peraturan 5.5 Olahraga Para Dunia.

Nik Erman Nik Roseli
Nik Erman Nik Roseli

Olahraga Para Dunia menggunakan peraturan berkenaan iaitu 'Gagal melaporkan diri ke Call Room' yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir ke 'Call Room' pada waktu sesuai seperti ditetapkan dalam jadual Call Room, keputusan yang akan ditunjukkan adalah DNS (tidak bermula).

Peraturan itu turut menggariskan beberapa pengecualian yang boleh membenarkan atlet menyertai pertandingan antaranya faktor yang tidak membabitkan tindakan atlet itu sendiri seperti masalah pengangkutan rasmi atau berlaku kesilapan dalam jadual 'Call Room'.

Berdasarkan peraturan itu juga, atlet dibenarkan untuk bertanding di bawah status protes ketika pengadil mempertimbangkan semua bukti mengapa atlet terlambat ke bilik menunggu.

"Daripada apa yang saya baca juga (laporan media), jalan sesak atau hujan itu tidak boleh dikira sebagai alasan. Itu mungkin kiranya seperti salah ketetapan masa.

"Dalam peraturan itu sendiri sudah diberikan contoh (pengecualian). Kalau katakan laporan 5.55 petang tetapi dalam program dia kata 6.30 petang... itu salah program (jadual). Alasan itu boleh diterima kalau berdasarkan peraturan, ataupun pengangkutan rasmi daripada hotel itu lewat dan ia bukan salah atlet. Itu adalah contoh yang diberikan dalam peraturan itu sendiri.

"Jadi, sekiranya mengikut daripada apa yang saya dengar dan pemahaman saya kepada peraturan, sukar sikit untuk nak berjaya pun (sekiranya di bawa ke CAS). Kalau dibawa pun mungkin susah nak menang.

"Saya cuba juga melihat internet. Banyak alasan yang dikemukakan tetapi semua alasan diberikan itu tak boleh diguna pakai. Tak ada yang betul-betul kukuh kalau mengikut peraturan sedia ada," kata Nik Erman.

Ziyad sebelum ini dinafikan kemenangan pingat emas dan rekod dunia baharu 17.94 meter (m) dilakukannya dalam acara lontar peluru F20 di Stadium Olimpik Tokyo selepas menerima bantahan daripada kem Ukraine atas kelewatan ke Call Room.

Bagaimanapun, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri D Shahriman Zaharuddin tidak menolak kemungkinan memanjangkan kes itu ke CAS.

Berita Harian X