Ahad, 5 September 2021 | 6:50pm
Megat tabik dengan semangat atlet para di Tokyo 2020.
Megat tabik dengan semangat atlet para di Tokyo 2020.

PARALIMPIK: Pencapaian terbaik kontinjen negara

KUALA LUMPUR: Kontinjen Sukan Paralimpik Tokyo 2020 negara mencapai sasaran tiga pingat emas dan ia dianggap sebagai yang terbaik pernah dicapai walaupun persiapan atlet sedikit terganggu susulan pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) merangkap ketua kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin bagaimanapun mengakui ia sedikit tersasar daripada jangkaan.

"Kita gembira dengan tiga emas, cumanya kita menjangkakan lebih banyak pingat.

"Namun kita tetap bersyukur dan atlet juga sudah bekerja keras.

"Kita menjangkakan Wong Kar Gee (lompat jauh T13) boleh membawa pulang pingat perak atau gangsa tetapi mengalami kecederaan. Cikgu Didin (Didin Teresoh yang menyertai sukan badminton para) juga begitu tetapi menghadapi kecederaan.

"Saya fikir ini pencapaian terbaik kerana kita banyak kekangan di sini disebabkan COVID-19. Temasya juga tertangguh setahun, prestasi atlet juga turun naik disebabkannya," kata Megat pada sidang media secara maya mengenai prestasi kontinjen negara pada hari terakhir temasya hari ini.

Kontinjen negara membawa pulang tiga emas dan dua perak menerusi sukan powerlifting, badminton, boccia dan lompat jauh sekali gus memperbaiki pencapaian di Rio 2016.

Di Rio de Janeiro lima tahun lalu, kontinjen negara membawa pulang tiga emas dan satu gangsa, masing-masing hanya menerusi sukan olahraga disertai Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah Ismail.

Kontinjen negara sepatutnya mampu memperoleh empat emas namun kemenangan Ziyad dalam acara lontar peluru lelaki F20 dibatalkan susulan terdapat bantahan daripada kem Ukraine yang mendakwa jaguh negara itu lewat tiba di bilik menunggu.

"Saya percaya MPM (Majlis Paralimpik Malaysia) dan MSN (Majlis Sukan Negara) gembira dengan keputusan dan ada peningkatan lagi di masa depan. Ia tidak akan berakhir di sini dan harap semua rakyat Malaysia tahu yang Sukan Paralimpik dan Olimpik ini bertanding di peringkat tertinggi.

"Kami semua berbangga dan 25 presiden di bawah MPM berbangga dan ini pencapaian terbaik bagi mereka. "Mereka mempunyai lebih banyak pengalaman daripada saya tetapi mereka tetap memberitahu saya, inilah Paralimpik terbaik untuk MPM," tambah Megat.

Pencapaian Malaysia di Paralimpik

Heidelberg 1972: Tiada pingat

Toronto 1976: Tidak menyertai

Arnhem 1980: Tidak menyertai

New York 1984: Tidak menyertai

Seoul 1988: 1 Gangsa

Gangsa - P Mariappan (angkat berat 57kg lelaki)

Barcelona 1992: 1 Perak, 2 gangsa

Perak - Cheok Kon Fatt (angkat berat lelaki 52kg)

Gangsa - P Mariappan (angkat berat lelaki 60kg)

Gangsa - Mohamad Khasseri Othman (Lompat tinggi B2)

Atlanta 1996: Tiada pingat

Sydney 2000: Tiada pingat

Athens 2004: Tiada pingat

Beijing 2008: 1 Gangsa

Gangsa - Siow Lee Chan (angkat berat wanita 56kg)

London 2012: 1 Perak, 1 Gangsa

Perak - Hasihin Sanawi (memanah perseorangan recurve W1/W2)

Gangsa - Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru lelaki F20)

Rio 2016: 3 Emas, 1 Gangsa

Emas - Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m lelaki T36)

Emas - Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru lelaki F20)

Emas - Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20)

Gangsa - Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh wanita T20)

Tokyo 2020: 3 Emas, 2 Perak

Emas - Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting 72kg lelaki)

Emas - Cheah Liek Hou (badminton perseorangan lelaki SU5)

Emas - Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20)

Perak - Jong Yee Khie (powerlifting 107kg)

Perak - Chew Wei Lun (boccia perseorangan)

Berita Harian X