Ahad, 22 Ogos 2021 | 12:55pm
Muhammad Fadhil Mohd Zonis ketika mewakili pasukan Yayasan Sime Darby pada Piala Negara-Negara di Hong Kong pada 15 Mei lalu. - Foto AFP.
Muhammad Fadhil Mohd Zonis ketika mewakili pasukan Yayasan Sime Darby pada Piala Negara-Negara di Hong Kong pada 15 Mei lalu. - Foto AFP.

Fadhil sedia sahut cabaran ke Olimpik Paris

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis sedia menyahut cabaran dan percaya mampu membentuk kombinasi ampuh bersama Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam misi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi acara pecut berpasukan.

Fadhil, 24, mendedahkan ketiga-tiga mereka sememangnya memasang impian untuk layak dalam acara berpasukan di pentas Olimpik dan dia secara peribadi sanggup berkorban untuk memastikan matlamat itu tercapai.

"Kami sebenarnya memang menetapkan untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi mungkin belum rezeki. Namun, kini kami sudah mula untuk melakukan persiapan dan perancangan bagi layak ke Paris 2024 dan saya tahu ia bukan mudah.

"Saya perlu gandakan usaha dan bersedia mengharungi apa jua cabaran. Malah, saya juga sanggup berkorban. Tidak kiralah perlu menjalani latihan yang keras atau perlu berjauhan dengan keluarga dengan menyertai kejohanan atau latihan di luar negara. Saya memang sudah bersedia mental dan fizikal.

"Diharapkan nanti segala usaha dan pengorbanan kami dapat membawa kami bersama layak ke Paris untuk acara pecut berpasukan," katanya kepada BH Sukan.

BH Sukan, semalam melaporkan ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley optimis Malaysia akan mencipta sejarah dengan penyertaan kali pertama dalam acara pecut berpasukan di Sukan Olimpik 2024.

Jurulatih dari Australia itu yang menyifatkan Fadhil sebagai pelumba bertaraf dunia sudah bersedia untuk mengiringi Azizulhasni dan Shah Firdaus ke Paris.

Fadhil yang muncul antara pelumba muda negara yang sedang meningkat, cemerlang ketika beraksi di Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong, Mei lalu, apabila memenangi emas dalam acara keirin dan perak bagi acara 1 kilometer ujian masa individu.

Sebagai rekod, sepanjang penyertaan di Sukan Olimpik, skuad basikal trek negara hanya layak beraksi dalam acara individu dan pencapaian terbaik menerusi Azizulhasni yang menyaksikan dia mememangi pingat gangsa acara keirin di Olimpik London 2012 sebelum meraih perak di Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Di Tokyo, Azizulhasni dan Shah Firdaus menggalas cabaran negara dalam acara pecut individu dan keirin.

Fadhil yang berasal dari Selangor mengakui terkilan apabila dia, Azizulhasni dan Shah Firdaus gagal layak ke Tokyo disebabkan beberapa faktor di luar kawalan mereka yang sedikit sebanyak merencatkan usaha mengutip mata yang secukupnya untuk beraksi di negara Matahari Terbit itu.

"Namun, kegagalan itu tidak sedikit pun melunturkan semangat saya sebaliknya saya lebih bermotivasi tinggi untuk melakukan yang lebih baik. Saya sedar ia bukan mudah dan akan berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Jika tanya sama ada bersedia atau tidak, saya memang bersedia sejak pusingan kelayakan Olimpik Tokyo lagi. Kali ini, saya perlu bekerja lebih keras dan menjangkakan cabaran yang lebih hebat termasuklah pandemik COVID-19 yang mungkin akan menjejaskan perancangan kami," katanya.

Berita Harian X