Isnin, 9 Ogos 2021 | 7:53pm
Datuk Azizulhasni Awang (tengah) bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kiri) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

OLIMPIK: Azizulhasni akan bertanding di Paris 2024

SEPANG: Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menyuarakan tekad untuk terus menyumbang keringatnya bagi beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelumba berusia 33 tahun yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu, berkata semangatnya masih membara bagi membawa cabaran negara di temasya terbesar dunia berkenaan.

"Perancangan awalnya saya memang mahu teruskan sehingga Olimpik Paris 2024.

"Namun seperti biasa selepas berakhirnya kejohanan utama, saya akan duduk berbincang semula dengan jurulatih John Beasley dan pasukan bagi membuat perancangan semula.

"Semangatnya masih membara, keinginan masih tinggi dan saya juga tidak berdepan dengan sebarang isu fizikal. Namun seperti yang saya katakan, kita akan buat perancangan semula," katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersama pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang ketika sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang bergambar bersama pingat perak yang dimenanginya dalam acara keirin lelaki Sukan Olimpik 2020 ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Azizulhasni dijulang sebagai wira kontinjen negara selepas memenangi pingat perak acara keirin sekali gus memperbaiki pencapaiannya ketika meraih gangsa di Olimpik Rio 2016.

Aksi di Tokyo adalah penampilan keempat Azizulhasni di pentas Olimpik selepas Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Dalam pada itu, Azizulhasni memaklumkan yang dia mahu pulang ke Dungun, Terengganu bagi bertemu bapanya, Awang @ Muda Embong, 72, yang dilaporkan menghidap penyakit angin ahmar sebaik tamat tempoh kuarantin wajib selama 14 hari.

"Perkara pertama yang saya mahu lakukan selepas kuarantin adalah melawat bapa saya yang kurang sihat dan ibu saya," katanya.

Azizulhasni turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan kepada dirinya dan kontinjen negara sepanjang beraksi di Olimpik Tokyo.

Berita Harian X