Ahad, 8 Ogos 2021 | 8:03pm

OLIMPIK: PM harap Malaysia dapat emas di Paris 2024

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kontinjen negara akan dapat meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik dalam temasya seterusnya di Paris pada 2024.

Perkara itu dinyatakan beliau dalam perbualan menerusi panggilan video bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan dua jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom, hari ini.

"Saya nak menyatakan rasa bangga kerana apa pun bagi kami, anda adalah wira. Walaupun saya mengikuti dari jauh, tapi saya faham kerana saya pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan.

"Jadi anda juara sebenar untuk Malaysia, sekali lagi saya ingin ucap tahniah dan terima kasih kepada segala pengorbanan Azizulhasni dan rakan-rakan lain yang bekerja kuat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang video bersama atlet negara. - Foto BERNAMA
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang video bersama atlet negara. - Foto BERNAMA

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang video bersama Datuk Azizulhasni Awang, Muhamad Shah Firdaus Sahrom dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas saingan peringkat akhir acara keirin basikal trek Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini. - Foto BERNAMA

Datuk Azizulhasni Awang menunjukkan pingat yang dimenangi ketika sidang video bersama Perdana Menteri. - Foto BERNAMA
Datuk Azizulhasni Awang menunjukkan pingat yang dimenangi ketika sidang video bersama Perdana Menteri. - Foto BERNAMA

"Bagi kita di Kuala Lumpur memang menunggu saat ini. Tapi apa pun, ini satu pencapaian membanggakan. Sudah pasti untuk Olimpik seterusnya saya doakan kita boleh dapat emas pertama untuk Malaysia dan ia mesti datang dari (acara) keirin," katanya.

Pada perbualan santai itu, Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni yang bakal mendapat cahaya mata ketiga selain turut mendoakan kesembuhan bapa pelumba negara itu yang dilaporkan tidak sihat sebelum dia berlepas ke Tokyo.

Azizulhasni atau dikenali dengan julukan 'The Pocket Rocketman' menamatkan perlumbaan final keirin, di tempat kedua di belakang pelumba Great Britain, Jason Kenny yang mempertahankan emas diraihnya di Rio 2016.

Sementara itu Azizulhasni turut meluahkan perasaan terkilan kepada Muhyiddin kerana tidak berjaya menyumbang emas pertama di pentas Olimpik buat Malaysia.

"Saya terkilan juga sebab kita pada landasan untuk menang emas. Tapi ada sedikit masalah teknikal yang bukan dari kita, tapi dari negara lain yang bagi jurang terlampau jauh dengan pelumba Great Britain.

"Saya pun tak tahu kenapa dia buat begitu. Jadi kita dekat belakang ini susah sikit nak kejar. Tapi itulah, dalam acara keirin ini apa saja boleh berlaku dan saya bersyukur kita dapat pingat perak hari ini," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kanan) bersama pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang (tengah) dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom menerima kata-kata semangat dan ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berhubung menerusi panggilan video selepas majlis penyampaian pingat acara keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Izu Velodrom, Shizuoka, Jepun. - Foto BERNAMA

Berita Harian X