Rabu, 4 Ogos 2021 | 9:11am
PEMAIN ragbi Australia.
PEMAIN ragbi Australia.

OLIMPIK: Ragbi Australia buat hal lagi

TOKYO: Pegawai Olimpik Australia semalam merayu diadakan siasatan terhadap laporan perlakuan "sangat mengecewakan" oleh pemain bola sepak dan ragbi yang baharu pulang dari temasya Tokyo.

Jawatankuasa Olimpik Australia (AOC) tidak menyatakan secara terperinci dakwaan salah laku dikatakan terjadi dalam pesawat membawa pulang atlet dari Tokyo ke Sydney minggu lalu.

Ketua Eksekutif AOC, Matt Carroll berkata syarikat penerbangan terbabit tidak mengeluarkan kritikan secara rasmi tetapi badan sukan itu berjanji akan menyiasat selepas perkara itu ditimbulkan.

"Ia amat mengecewakan, pemain ragbi dan bola sepak memberitahu saya perlakuan seperti itu jelas tidak boleh diterima dalam sukan mereka dan sudah memohon maaf kepada pasukan Olimpik Australia," katanya dalam satu kenyataan.

"Ketua Eksekutif (badan induk itu) akan mengambil tindak sewajarnya dan akan melaporkan kembali kepada kami."

Ragbi Australia mengesahkan satu siasatan sedang dijalankan terhadap "insiden" membabitkan pasukan ragbi tujuh sebelah Olimpik.

Sebelum ini pemain ragbi bersama pasukan mendayung, juga didakwa terbabit dalam parti yang merosakkan kemudahan sukan buat Olimpik Australia di Tokyo.

Media Australia melaporkan perhimpunan itu menyebabkan katil rosak, lubang pada dinding dan muntah di sebuah bilik. - AGENSI

Berita Harian X