Khamis, 29 Julai 2021 | 7:23am
Hidilyn Diaz menunjukkan pingat emas yang dimenanginya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila semalam.
Hidilyn Diaz menunjukkan pingat emas yang dimenanginya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila semalam.

OLIMPIK: Duterte minta Diaz 'lupakan perkara lampau'

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menggesa juara Olimpik acara angkat berat, Hidilyn Diaz 'melupakan perkara lampau' selepas kerajaan mendakwa atlet itu berkomplot untuk menjatuhkan pentadbirannya, dua tahun lalu.

Duterte bercakap dengan atlet terbabit menerusi aplikasi Zoom selepas dia tiba di Manila dari Tokyo susulan kejayaannya merangkul pingat emas pertama Olimpik buat negara itu.

Bukan setakat mengucapkan tahniah namun presiden turut menganugerahkan ganjaran sebanyak tiga juta peso (RM254,000) daripada poketnya sendiri sambil meminta supaya dia 'melupakan perkara lampau yang buruk'.

"Kamu sudahpun memenangi emas dan lebih baik kamu lupakan apa yang pernah terjadi," kata Duterte.

Diaz yang menyarung seragam Tentera Udara Filipina itu mengucapkan terima kasih sebelum melakukan tabik hormat kepada Duterte.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP

Pada 2019, pemenang pingat perak Olimpik Rio itu menjadi antara individu yang dinamakan dalam carta yang diumumkan Duterte dengan dia didakwa memiliki hubungan dengan individu yang dituduh cuba 'mencemarkan nama baik pentadbirannya.'

Carta yang tidak membuktikan tuduhan terbabit turut membariskan beberapa pemimpin pembangkang, ketua gerila komunis yang terbuang, wartawan dan beberapa individu lain.

"Saya terkejut. Saya begitu bimbang terhadap keselamatan saya dan juga keluarga saya," kata Diaz pada waktu itu.

Jurucakap ketika itu yang kini menjadi penasihat undang undang presiden, Salvador Panelo mengesahkan dia sudahpun menjelaskan Diaz tidak terbabit dalam plot anti kerajaan namun diikuti oleh salah seorang suspek di media sosial.

"Perkara itu adalah salah tafsiran," kata Panelo pada minggu ini.

Diaz disambut oleh pegawai Tentera Udara Filipina di Manila dan akan menjalani kuarantin selama tujuh hari di hotel.

Kemenangan itu meletakkan dia sebagai hero negara dan sebaris dengan legenda seperti legenda tinju mereka, Manny Pacquiao.

Selain RM254,000 yang diberikan Duterte, dia juga menerima 33 juta peso (RM2.78 juta) dan dua hartanah daripada kerajaan serta sektor swasta.

Malah, Tentera Filipina turut mengesahkan dia dinaikkan pangkat kepada staf sarjan dan dinaikkan gaji sebanyak 630 peso (RM54) setiap bulan selepas ini. - AFP

Hidilyn Diaz melambai tangan kepada jurugambar ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila. - Foto AFP
Hidilyn Diaz melambai tangan kepada jurugambar ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila. - Foto AFP

Berita Harian X