Selasa, 27 Julai 2021 | 10:09pm
Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi (depan tengah) dan jurulatihnya, Nataliya Sinkova selamat tiba di KLIA petang tadi selepas beraksi di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. - Foto BERNAMA.
Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi (depan tengah) dan jurulatihnya, Nataliya Sinkova selamat tiba di KLIA petang tadi selepas beraksi di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. - Foto BERNAMA.

OLIMPIK: Farah Ann selamat tiba di KLIA

KUALA LUMPUR: Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, selamat tiba di tanah air selepas menamatkan kempen di Sukan Olimpik 2020, di Jepun.

Atlet gimnastik artistik berusia 27 tahun itu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5.45 petang tadi, bersama jurulatihnya Nataliya Sinkova.

Pemenang tujuh pingat emas Sukan SEA itu, akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di sebuah hotel swasta, mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Farah Ann yang membuat penampilan sulung di pentas Olimpik, terlepas peluang mara ke akhir acara all-around wanita, selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-68 daripada 85 peserta, dengan mengumpul 48.565 mata keseluruhan di Pusat Gimnastik Ariake, Tokyo pada Ahad lalu.

Dia mengutip 11.600 mata dalam aparatus palang bertingkat dan palang imbangan (11.566 mata), disiplin senam lantai (12.233 mata) sebelum melengkapkan aksi disiplin melombol (13.166 mata) dan terlepas peluang beraksi dalam acara all-around akhir.

Seorang lagi gimnas negara, Jeremiah Loo Phay Xing, yang beraksi dalam acara all-around lelaki, tiba di tanah air, semalam.

Jeremiah gagal melayakkan diri ke final apabila menamatkan saingan di tempat ke-62 daripada 66 peserta dengan mengumpul 67.498 mata.

- BERNAMA

Berita Harian X