Selasa, 27 Julai 2021 | 11:48am
Pemenang pingat emas Australia Kaylee McKeown bersama pingat dan jambangan bunga selepas memenangi acara 100m kuak lentang wanita di Tokyo 2020. - AFP
Pemenang pingat emas Australia Kaylee McKeown bersama pingat dan jambangan bunga selepas memenangi acara 100m kuak lentang wanita di Tokyo 2020. - AFP

OLIMPIK: Rahsia di sebalik jambangan bunga

TOKYO: Di temasya Olimpik Tokyo kali ini, setiap pemenang pingat turut menerima sejambak bunga berwarna kuning, hijau dan biru yang diikat dengan riben biru.

Namun ada kisah di sebalik jambangan bunga ini. Ia adalah simbol kebangkitan Jepun selepas bencana gempa bumi dan tsunami pada tahun 2011 yang mengorbankan 20,000 nyawa atau hilang.

Bunga-bunga yang dipilih adalah dari kawasan yang teruk dilanda bencana berkenaan.

Bunga berwarna hijau adalah Eustomas yang tumbuh di Fukushima, yang dilanda tsunami dan kemudian tragedi nuklear yang memaksa ribuan penduduknya berpindah.

Ia bukan kawasan sesuai untuk tanaman bunga tetapi menurut penganjur, sekumpulan aktivis cuba menanam Eustomas bagi merancakkan semula ekonomi Fukushima.

Penanaman bunga adalah langkah awal untuk menguji sama ada kawasan bekas tragedi nuklear itu sesuai untuk pertanian. Sebelum itu sayuran yang ditanam menunjukkan kesan radiasi tinggi dan tidak sesuai dimakan.

Bunga matahari pula dibawa dari Miyagi yang mengorbankan 10,000 nyawa ketika tsunami.

Keluarga-keluarga mangsa kembali ke kawasan pergunungan di Miyagi untuk menanam bunga matahari bagi mengingati ahli keluarga yang terkorban.

Miyagi sebenarnya lebih terkenal dengan bunga ros, bukan bunga matahari. Bagaimanapun mereka menggunakan kepakaran dan teknologi untuk menghasilkan bunga matahari lebih kecil.

Bunga berwarna biru pula adalah Gentians dari wilayah Iwate, kawasan pantai di utara Miyagi. Iwate memang kawasan penanaman gentian sejak 1960-an.

Jambangan bunga itu turut menampilkan maskot Olimpik, Miraitowa. Maskot itu membawa maksud masa depan (mirai) dan abadi (towa). - AGENSI

Berita Harian X