Jumaat, 23 Julai 2021 | 10:43pm
Kontinjen negara segak dan bergaya dengan busana baharu pada majlis perasmian Tokyo 2020.
Kontinjen negara segak dan bergaya dengan busana baharu pada majlis perasmian Tokyo 2020.

OLIMPIK: Busana kontinjen Malaysia tarik perhatian dunia

KUALA LUMPUR: Segak bagaikan pahlawan dulu kala dan manis ibarat bunga!

Itu yang dapat disimpulkan mengenai persalinan pemakaian kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan di Stadium Olimpik yang menarik perhatian global, malam ini.

Busana yang dipakai kontinjen negara itu diinspirasikan daripada persalinan pemakaian Hang Tuah dalam segi penggayaan dan suntikan elemen segar dari corak geometrik dan warna Jalur Gemilang sebagai warna asas.

Tatacara pemakaian adalah lengkap bertanjak, baju sikap dan samping berbaju Melayu yang melambangkan kejituan rasa cinta kepada Malaysia dan baju kebangsaan.

Persalinan wanita pula yang lengkap berdokoh dan berselendang membiaskan identiti Malaysia yang kaya dengan budaya tersendiri.

Berdasarkan corak geometrik berasaskan segi tiga ataupun chevron, ia memberi kesan rangsangan arah tuju yang jelas mencapai matlamat pingat yang terbaik untuk negara.

Rekaan pakaian terbabit adalah daripada Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam.

Sebagai rekod, seramai 13 atlet dan pegawai diketuai Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib bersama jaguh badminton, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying sebagai pembawa Jalur Gemilang, menganggotai kontinjen negara.

Turut berarak ratu terjun, Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Phee Jinq En, Welson Sim dan ratu gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi.

Turut serta Ketua Pegawai Perubatan, Dr Kamarul Hashimy Hussien dan sekretariat kontinjen negara, Norhashimi Hussain, Mohd Fawwaz Jamal serta Azrul Hisyam Abdul Jalil.

Upacara kemasukan kontinjen dimulakan dengan Greece manakala Malaysia pula menjadi negara ke-177 dengan tuan rumah, Jepun menjadi kontinjen ke-206 dan terakhir masuk ke dalam stadium.

  • GALERI FOTO: Malam pembukaan Olimpik Tokyo 2020
  • Berita Harian X