Isnin, 14 Jun 2021 | 9:45pm
Presiden SAM, Norismadi Abd Manap (dua kanan) bersama pengamal media pada sesi suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di MITEC, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ihsan Facebook SAM.
Presiden SAM, Norismadi Abd Manap (dua kanan) bersama pengamal media pada sesi suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di MITEC, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ihsan Facebook SAM.

53 petugas media ke Tokyo terima vaksin

KUALA LUMPUR: Seramai 53 ahli Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang akan membuat liputan pada Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 hari ini, manakala sorang lagi akan divaksin esok.

Presidennya, Norismadi Abd Manap berkata semua 53 pengamal media berkenaan menerima suntikan jenis Pfizer BioNTech di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), di sini.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), terutama menterinya Khairy Jamaluddin, yang memberi kerjasama terhadap permohonan SAM bagi membolehkan ahli-ahlinya menerima suntikan lebih awal, sebelum mereka memulakan tugas di Tokyo nanti.

"Bagi pihak EXCO SAM, saya mengucapkan terima kasih kepada MOSTI, Khairy, Majlis Sukan Negara dan juga Majlis Olimpik Malaysia atas kerjasama yang mereka berikan, bagi merealisasikan proses suntikan vaksin kepada ahli-ahli SAM.

"Terima kasih juga kepada pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, yang turut memberi kerjasama bagi melancarkan proses vaksinasi ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sukan Olimpik dijadual berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Paralimpik pula pada 24 Ogos hingga 5 September.

- BERNAMA

Berita Harian X