Ahad, 16 Mei 2021 | 10:00pm
Aksi pelumba negara mewakili pasukan Yayasan Sime Darby, Muhammad Fadhil Mohd Zonis ketika memenangi pingat emas acara keirin pada kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong semalam. - Foto AFP.
Aksi pelumba negara mewakili pasukan Yayasan Sime Darby, Muhammad Fadhil Mohd Zonis ketika memenangi pingat emas acara keirin pada kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong semalam. - Foto AFP.

'Fadhil, Anis Amira boleh pergi jauh'

KUALA LUMPUR: Muhammad Fadhil Mohd Zonis menerima pujian daripada senior, Azizulhasni Awang yang menyifatkan pelumba muda berbasikal trek negara itu mempunyai karakter yang tinggi.

Azizulhasni atau dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman itu turut berbangga dengan pencapaian Anis Amira Rosidi yang meraih gangsa dalam acara 500 meter ujian masa di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Velodrom Hong Kong semalam.

Fadhil, 24, begitupun tidak dapat meneruskan rentak cemerlang meraih pingat emas dalam acara keirin dan perak acara 1km ujian masa individu lelaki sejak dua hari lalu apabila kecundang di suku akhir pecut lelaki.

Begitupun, pencapaian dalam acara keirin dan 1km ujian masa itu sudah memadai untuk meletakkan nama Fadhil sebaris Azizul dan Rizal Tisin yang pernah memenangi pingat di peringkat Piala Dunia dan Piala Negara-Negara.

Azizulhasni sebelum ini pernah meraih gangsa dalam acara keirin di Piala Dunia 2018 manakala Rizal turut meraih kilauan pingat sama acara 1km ujian masa di Pruszkow, Poland 2009.

"Kedua-dua pelumba ini memang sangat berpotensi untuk pergi lebih jauh," kata Azizulhasni yang sedang dalam persiapan menuju ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.

"Mereka berdua ini mempunyai disiplin yang tinggi, mendedikasikan diri mereka sepenuhnya kepada karier sukan dan sentiasa terbuka menerima nasihat. Harap Fadhil dan Anis dapat menempa lebih banyak kejayaan di masa depan."

Hari ini Fadhil menutup tirai penyertaan di kejohanan berkenaan dengan langkah kiri apabila tewas pada suku akhir acara pecut di tangan pesaing dari Jepun, Yuta Wakimoto.

Berita Harian X