Sabtu, 15 Mei 2021 | 5:01pm
Pelumba basikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis di podium selepas memenangi pingat perak pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong. - Foto ihsan IG Muhammad Fadhil Mohd Zonis.
Pelumba basikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis di podium selepas memenangi pingat perak pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong. - Foto ihsan IG Muhammad Fadhil Mohd Zonis.

Fadhil raih perak Piala Negara-Negara UCI

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis meraih pingat perak acara 1km ujian masa individu lelaki pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Velodrom Hong Kong, semalam.

Pelumba berusia 24 tahun itu mencatatkan masa 1 minit 1.772 saat (s), ketinggalan 0.998s di belakang pemenang pingat emas dari Jerman, Felix Grob yang merekodkan masa 1:00.774s.

Pelumba Sepanyol Juan Peralta membawa pulang pingat gangsa dengan perbezaan masa1.399s manakala seorang lagi pelumba negara Muhammad Rdwan Shahrom menduduki tempat keempat dengan perbezaan masa 2.124s, menurut laman sesawang UCI https://www.uci.org.

Muhammad Fadhli yang memegang rekod kebangsaan dan rekod Asia dalam acara 1km ujian masa dengan catatan 1:00.305s pada Kejohanan Dunia di Berlin tahun lalu, akan bersaing dalam acara keirin hari ini dan acara pecut esok.

"Ini adalah perlumbaan antarabangsa pertama selepas lebih setahun iaitu pada Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman tahun lalu. Telah memberikan yang terbaik dan mendapatkan pingat perak hari ini. Pengorbanan hari raya membuahkan hasil dan kejayaan ini adalah untuk Malaysia," katanya dalam hantaran di Instagramnya.

Sementara itu, pelumba wanita negara Anis Amira Rosidi gagal ke peringkat suku akhir acara pecut apabila tewas kepada pelumba Jepun Sato Mina.

- BERNAMA

Berita Harian X