Jumaat, 14 Mei 2021 | 11:13pm
Shahiran Hamid (dua kiri) bersama keluarga ketika menunggu jenazah menantunya, pemanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin di rumahnya di Kampung Tersusun Serkam Darat, Jasin malam tadi. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar.

Keluarga mentua Haziq terkejut beliau sudah tiada

JASIN: "Kami sekeluarga terkejut mendengar berita Haziq meninggal dunia pagi tadi," kata ibu mentua pemanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin, Shahiran Hamid ketika ditemui di kediamannya di Taman Koperasi Kampung Tersusun Serkam Darat, dekat sini, sebentar tadi.

Shahiran, 51, berkata dia dan keluarganya sempat berhubung dengan Allahyarham menerusi panggilan video ketika hari pertama Aidilfitri kira-kira jam 8.30 pagi semalam selama hampir satu jam.

Katanya, Allahyarham ketika itu kelihatan sihat, ceria dan gembira bersama isterinya Shahira Abd Hallim, 27, yang juga anak ketiganya ketika berbual dengan anak-anaknya yang lain.

HAZIQ (kiri) dan keluarganya di Kajang (bawah) ketika sesi panggilan video bersama keluarga mentuanya di Kampung Tersusun Serkam Darat pada hari pertama Aidilfitri. - Foto ihsan Shahiran Hamid.
HAZIQ (kiri) dan keluarganya di Kajang (bawah) ketika sesi panggilan video bersama keluarga mentuanya di Kampung Tersusun Serkam Darat pada hari pertama Aidilfitri. - Foto ihsan Shahiran Hamid.

MAJLIS tahlil di kediaman keluarga mentua Haziq di Kampung Tersusun Serkam Darat, malam tadi. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar.
MAJLIS tahlil di kediaman keluarga mentua Haziq di Kampung Tersusun Serkam Darat, malam tadi. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar.

"Kali terakhir kami bertemu Haziq pada Februari lalu ketika dia pulang dan bermalam di sini. Ketika itu memang dia tidak menunjukkan sebarang perubahan. Haziq seorang menantu yang baik. Dia akan ke pasar dan membantu memasak bersama-sama setiap kali pulang ke Melaka.

"Pemergiannya satu kehilangan besar kepada kami, peminat sukan dan negara kerana bakat besarnya dalam sukan terbabit serta pencapaian gemilangnya dalam sukan berkenaan," katanya dalam nada sebak.

Hadir sama EXCO NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Haziq, 27 menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang pada 9.37 pagi tadi selepas dilaporkan menggigil dan tidak sedarkan diri dikediamannya di Kajang. Difahamkan beliau rebah secara tiba-tiba selepas menunaikan solat subuh dan keluar dari bilik air.

Urusan bedah siasat dilakukan di Hospital Kajang petang tadi dan pengkebumian dijangka di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Kampung Tersusun Serkam Darat, dekat sini, awal pagi esok.

Berita Harian X