Sabtu, 27 March 2021 | 7:34pm
Juara bertahan, Matthew Richardson (tengah) bersama Azizulhasni (kiri) yang meraih pingat perak manakala Shah merangkul gangsa dalam acara pecut individu lelaki yang berlangsung di Velodrom Anna Meares, Brisbane. - Foto ihsan Twitter #TeamMALAYSIA
Juara bertahan, Matthew Richardson (tengah) bersama Azizulhasni (kiri) yang meraih pingat perak manakala Shah merangkul gangsa dalam acara pecut individu lelaki yang berlangsung di Velodrom Anna Meares, Brisbane. - Foto ihsan Twitter #TeamMALAYSIA

Azizulhasni, Shah raih penamat podium di Australia

KUALA LUMPUR: Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom terus mempamerkan kayuhan bertenaga menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini apabila masing-masing meraih penamat di podium pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia, Brisbane, sebentar tadi.

Azizulhasni atau dikenali dengan julukan 'The Pocket Rocketman' itu meraih pingat perak manakala Shah merangkul gangsa dalam acara pecut individu lelaki yang berlangsung di Velodrom Anna Meares.

Azizulhasni menewaskan Leigh Hoffman dan Tom Cornish masing-masing di suku akhir dan separuh akhir namun tidak tidak dapat mengatasi kayuhan juara bertahan, Matthew Richardson di pentas final dengan keputusan 0-2.

Shah yang tewas kepada Richardson dalam aksi separuh akhir, menjamin kilauan gangsa menjadi miliknya apabila meraih kemenangan 2-0 ke atas Cornish.

Ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley berpuashati dengan keputusan itu.

"Mereka berada tepat pada peringkat persiapan seperti saya jangkakan," kata Beasley. "Mereka masih dalam fasa latihan keras pada masa ini dan saya melatih mereka dengan begitu kuat dua hari sebelum bermulanya kejohanan.

"Ini kerana, saingan di Olimpik nanti adalah selama lima hari. Jadi kami perlu mempersiapkan mereka mengikut kesesuaian. Saya sangat gembira dengan apa yang mereka lakukan meskipun masih ada banyak perkara boleh diperbaiki."

Gambar fail - Azizulhasni Awang (kiri) dan Shah Firdaus Sahrom pada satu perlumbaan sebelum ini.
Gambar fail - Azizulhasni Awang (kiri) dan Shah Firdaus Sahrom pada satu perlumbaan sebelum ini.

Semalam, Azizulhasni dan Shah bergandingan bersama pelumba Russia, Shane Perking - yang sebelum ini mewakili Australia - dalam acara pecut berpasukan lelaki.

Trio berkenaan melakukan kayuhan dengan baik dan berada di tempat kedua dalam kelayakan selepas mencatat 44.854 saat.

Azizulhasni bagaimanapun berkata, mereka tidak dapat meneruskan saingan ke peringkat perebutan pingat memandangkan mereka bukan pasukan rasmi.

Esok, Azizulhasni dan Shah sekali lagi akan turun beraksi bagi mempertahankan pingat emas dan gangsa dalam acara kegemaran mereka, keirin.

Berita Harian X