Jumaat, 5 March 2021 | 7:01pm
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique setuju jadi rakan kongsi anugerah SAM.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique setuju jadi rakan kongsi anugerah SAM.

Kementerian Perpaduan iktiraf sumbangan wartawan sukan

KUALA LUMPUR: Usaha keras pengamal media sukan dalam membuat liputan berita sekali lagi diiktiraf, apabila Kementerian Perpaduan Negara bersetuju menjadi rakan kongsi dalam penganjuran Anugerah SAM-100Plus bermula tahun ini.

Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) dalam kenyataan hari ini menyebut, Kementerian Perpaduan Negara akan menyalurkan geran tajaan untuk SAM, bagi mengangkat karya sukan dengan mewujudkan tiga kategori baharu dalam anugerah berprestij sukan tempatan itu.

Tiga kategori baharu itu ialah Laporan Media Terbaik (Media Berbahasa Melayu), Laporan Media Terbaik (Media Bukan Berbahasa Melayu) dan Foto Perpaduan Terbaik.

Menurut kenyataan itu, persetujuan penajaan berkenaan dinyatakan melalui surat Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, kepada SAM hari ini.

Presiden SAM Datuk Jasni Shafie pula menyifatkan, penyertaan kementerian itu akan menjadikan Anugerah SAM-100Plus sebagai satu lagi medan pengiktirafan kepada penggiat media sukan tanah air, yang turut memainkan peranan secara tidak langsung mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, melalui laporan sukan masing-masing.

"SAM amat berterima kasih atas idea yang dilahirkan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, untuk mengajak media sukan membantu kementerian memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dan hasilnya kita bersetuju untuk mewujudkan kategori baharu dalam anugerah tahunan SAM,'' kata Jasni.

Perincian lanjut mengenai kriteria penyertaan akan dimaklumkan oleh SAM dalam tempoh terdekat, menurut kenyataan itu lagi.

Anugerah SAM yang bermula pada 1985 adalah majlis menghargai peranan atlet dan warga kewartawanan sukan tempatan, selain mula menampilkan enam kategori Anugerah Kewartawanan pada tahun 2009 serta kategori yang dianugerah kepada atlet terbaik negara. - BERNAMA

Berita Harian X