X
Isnin, 22 Februari 2021 | 11:19am
John Beasley (tengah) bersama Shah Firdaus (kiri) dan Azizulhasni. - NSTP/Eizairi Shamsudin
John Beasley (tengah) bersama Shah Firdaus (kiri) dan Azizulhasni. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Jijoe, Shah di landasan tepat menjelang Olimpik

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley menyifatkan dua anak didiknya, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Shahrom mempamerkan prestasi sempurna apabila meraih penamat 1-2 di Kejohanan Trek Elit Victoria, semalam.

Katanya, ia bukan perlumbaan mudah buat kedua-dua pelumba negara itu ketika semua pencabar mereka melakukan persiapan rapi bagi mencapai kemuncak prestasi dalam kejohanan berkenaan yang dianggap kejohanan besar pada tahun ini.

"Walaupun kejohanan ini kami anggap sebagai sebahagian daripada program latihan kami, namun kami tetap mahukan kemenangan.

"Sebagai jurulatih, saya sangat gembira dengan pencapaian yang dilakar kedua-dua pelumba (Azizulhasni dan Shah Firdaus). Mereka bekerja keras bagi memastikan tiada apa yang mustahil untuk dilakukan dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Ini juga menjadi penanda aras buat pasukan kejurulatihan betapa semuanya berada di landasan tepat seperti mana yang dirancang," kata Beasley kepada BH Sukan.

Pada perlumbaan semalam, Azizulhasni bermula garang apabila mencatat 10.126 saat (s) dalam kelayakan pecut individu sekali gus meletakkan dirinya mengungguli kedudukan carta kedudukan dalam saingan yang berlangsung di Velodrome Pusat Sukan Antarabangsa Darebin di Melbourne itu.

Shah berada di kedudukan ketiga terpantas dalam kelayakan dengan 10.186s manakala pelumba Blackburn Cycling Club, Sam Gallagher berada di kedudukan kedua, 10.171s.

Azizulhasni berjaya mengatasi pelumba Brunswick Cycling Club, Mace Colson dalam suku akhir sebelum mengenepikan bekas juara keirin remaja dunia, Conor Rowlyer (Blackburn) di separuh akhir.

Shah Firdaus menewaskan dua pelumba Blackburn, Sean Cleary dan Gallagher masing-masing di suku akhir dan separuh akhir.

Azizulhasni membuktikan yang dirinya masih sebagai sandaran utama pecut negara selepas menewaskan Shah Firdaus di pentas final. Rowley meraih pingat gangsa selepas menewaskan Gallagher dalam saingan playoff.

"Azizulhasni menunjukkan prestasi yang sangat baik pada hari perlumbaan, dia membuat keputusan yang tepat di bawah tekanan.

"Dia menunjukkan prestasi di luar daripada jangkaan saya memandangkan mereka menjalani latihan keras seminggu sebelum kejohanan berlangsung. Malah, saya mengadakan latihan sehari sebelum perlumbaan berlangsung," kata Beasley.

Azizulhasni dan Shah Firdaus masing-masing sebelum ini meraih emas dan gangsa dalam acara keirin di Kejohanan Kebangsaan Australia di Brisbane, Disember lalu.

Berita Harian X