Jumaat, 19 Februari 2021 | 11:16am
 Ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley bersama Azizulhasni dalam satu perlumbaan sebelum ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley bersama Azizulhasni dalam satu perlumbaan sebelum ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Beasley yakin prestasi Jijoe memuncak ketika Olimpik

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley yakin anak buahnya, Azizulhasni Awang akan berada di kemuncak prestasi terbaiknya pada Sukan Olimpik Tokyo pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Jurulatih dari Australia itu, berkata persiapan pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 dan juara dunia keirin 2017 itu berada di landasan tepat bagi menghadapi temasya terbesar dunia itu sekali lagi di Tokyo.

"Fizikalnya berada di tahap bagus yang mana sudah dilakukan sepanjang kerjayanya. Dia akan berada di tahap terbaik dalam kerjayanya di Tokyo dan akan melakukan yang terbaik bagi melakar kemenangan buat Malaysia.

"Saya boleh pastikanya yang dia tidak akan mengecewakan dalam perjalanannya ke Tokyo dan akan melakukan yang terbaik bagi mengharumkan nama Malaysia. Dia akan membuktikan apa boleh dicapai dengan persiapan rapi, kepercayaan dalam diri, dedikasi dan pengorbanan," katanya.

Azizulhasni yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman' adalah sandaran utama kontinjen Malaysia di Tokyo bagi menamatkan penantian memenangi emas pertama pada temasya berprestij dunia berkenaan.

Pelumba berusia 33 tahun itu baru-baru ini membuatkan seluruh rakyat Malaysia berbangga selepas berjaya menghuni kedudukan teratas ranking dunia bagi acara pecut individu dan di tempat kedua bagi keirin.

Pencapaian itu dianggap tonik terbaik buat Azizulhasni sebelum beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo yang menyaksikan dia sudah pun melayakkan diri bagi acara pecut dan keirin.

Berita Harian X