Isnin, 15 Februari 2021 | 12:53pm
Azizulhasni (kanan) bersama jurulatihnya, John Beasley dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad.
Azizulhasni (kanan) bersama jurulatihnya, John Beasley dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad.

Pencapaian Azizulhasni hasil transformasi luar biasa

KUALA LUMPUR: Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang boleh dianggap melanggar 'hukum sains' menerusi deretan kejayaan yang sudah dikecapinya. Pelumba berusia 33 tahun itu melalui proses transformasi yang luar biasa untuk dia berada pada tahap seperti hari ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, berkata berdasarkan kajian saintifik yang dilakukan sebelum Azizulhasni 'berguru' di Melbourne, pada 2007, ia menunjukkan saiz fizikalnya tidak memenuhi kriteria beraksi dalam acara trek.

"Kualiti otot dan ketinggian Azizulhasni memang tidak memenuhi kriteria untuk beraksi dalam acara trek ketika itu. Ini kerana, pada 2007, kebanyakkan pelumba keirin termasuk Josiah Ng adalah orang tinggi dan memiliki otot yang besar.

"Jadi, apa yang kita nampak sekarang (saiz fizikalnya), ia adalah pembinaan dan kaedah pemakanan yang diamalkan Azizulhasni serta program latihan yang diikutinya di Melbourne. Dia melalui proses transformasi yang luar biasa dalam tempoh 14 tahun ini.

"Kalau kita lihat sekarang, Azizulhasni mungkin tiada ketinggian tetapi dia sudah memiliki kualiti otot yang bagus. Dia juga ada daya tahan dan kuasa pecutan yang bagus selain sifat 'berani matinya' terutama jika beraksi dalam acara keirin," katanya kepada BH Sukan.

BH Sukan semalam melaporkan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mendedahkan pemergian pelumba itu ke Melbourne pada awalnya bukanlah mudah kerana mendapat tentangan daripada segelintir pihak termasuk individu yang boleh dianggap pakar dalam sukan berbasikal.

Mereka menganggap pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dan juara dunia keirin 2017 tidak mempunyai potensi untuk berjaya disebabkan saiz tubuh badannya yang kecil.

Mengulas lanjut, Sadek, berkata keberanian MSN dan Beasley untuk 'melarikan' 'The Pocket Rocketman' ke Melbourne adalah tindakan yang tepat bagi mengembangkan bakat dimiliki pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu.

"Perubahan dapat dilihat selepas Azizulhasni berlatih di Melbourne. Ketika Sukan Olimpik 2008 di Beijing, kita dapat lihat Azizulhasni sudah mula menunjukkan kemampuannya dan ia berlaku dalam tempoh yang singkat.

"Beasley melaksanakan tugasnya sebagai jurulatih dengan baik sekali. Apabila dia membawa Azizulhasni ke Melbourne, dia membawa pelumba itu keluar daripada zon selesanya di Malaysia dan perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu.

"Beasley berjaya melakukan tranformasi ke atas Azizulhasni dari aspek fizikal, sosial dan mental untuk menjadi seorang juara," katanya.

Azizulhasni baru-baru ini membuatkan seluruh rakyat Malaysia berbangga selepas berjaya menghuni kedudukan teratas ranking dunia bagi acara pecut individu dan di tempat kedua bagi keirin.

Pencapaian itu dianggap suntikan semangat buat Azizulhasni dalam misinya memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo yang akan bermula pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini. Dia sudah melayakkan diri ke Tokyo dalam acara pecut individu dan keirin.

Berita Harian X